‘Konspirasi jahat’ PH-BN punca penyitaan ‘salah’ akaun Bersatu

0
144

‘KONSPIRASI jahat’ antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menjadi alasan utama kepada tindakan penyitaan “salah” dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap akaun bank Bersatu, kata parti itu.

Susulan itu, Bersatu mendakwa perintah penyitaan adalah “ketidakperlembagaan”, “ketaksahan”, “kesumbangan prosedur”, “ketidakrasional”, “penyalahgunaan proses”, “mala fide”, penyalahgunaan proses undang-undang”, “melanggar jangkaan salah”, “songsang” dan “penyalahgunaan kuasa”.

Dalam permohonan kedua kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman difailkan Mahkamah Tinggi, Bersatu memohon membatalkan perintah penyitaan dibuat SPRM.

Difailkan pada Isnin oleh Suhaimi Yahya bagi pihak parti tersebut, permohonan menamakan peguam negara, SPRM, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, dan beberapa pegawai, termasuk kerajaan persekutuan sebagai responden.

“Pada 6 April, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendengar permohonan kebenaran semakan kehakiman dan merizabkan keputusan mahkamah pada 17 Mei yang kemudiannya ditunda kepada 30 Mei.

“Namun, SPRM cuba mengganggu dan mengubah status quo perkara dalam semakan kehakiman dengan mengumumkan penyitaan akaun-akaun Bersatu secara salah selepas pembekuan salah tersebut luput,” kata Bersatu dalam pernyataan difailkan di mahkamah, lapor FMT.

Bersatu berkata, sehingga kini, parti tidak menerima perintah penyitaan tersebut.

Dalam pernyataan, parti itu mengimbau kembali ketiadaan mana-mana parti memperoleh majoriti mudah susulan PRU15.

“PH, di bawah pimpinan Anwar Ibrahim, telah berkomplot dengan BN yang di bawah pimpinan Zahid Hamidi untuk mendapat lantikan bagi pembentukan satu kerajaan gabungan kononnya dipanggil ‘kerajaan perpaduan Malaysia’,” menurut pernyataan itu.

Menurut Bersatu, konspirasi antara PH dan BN jelas dipaparkan dalam beberapa perkara selepas PRU15.

” (Anwar) pada minggu pertama menjadi menteri kewangan, mengumumkan bahawa kerajaan di bawah pimpinan Muhyiddin Yassin menyelewengkan RM600 bilion pakej rangsangan ekonomi, jumlah itu turun menjadi RM530 bilion, kemudian ke RM92.5 bilion, kemudian ke RM4.5 bilion dan jatuh merudum kepada RM300 juta,” kata pernyataan itu.

Katanya, sehari selepas parti memfailkan semakan kehakiman permulaan, pada 8 Mac, SPRM membuat pendakwaan terhadap Muhyiddin, namun bukan “pendakwaan RM300 juta”, tetapi kononnya “kesalahan penyalahgunaan kuasa”.

Akaun bank milik Muhyiddin tidak dibekukan. Sebaliknya, akaun Bersatu dibekukan untuk melumpuhkan Bersatu.

“Sehingga kini, Bersatu tidak dikenakan sebarang pendakwaan,” kata parti berkenaan.

Bersatu berkata, Anwar dan Zahid berterusan melemparkan fitnah terhadap kepimpinan Bersatu dan Perikatan Nasional, termasuk mendakwa parti itu mendapat sokongan dari syarikat perjudian.

“Pada 25 Mei, Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said mengeluarkan jawapan bertulis bahawa SPRM menjalankan kajian terperinci dan mengesahkan bahawa tiada satu pun parti PN memperolehi sokongan dana judi,” kata pernyataan itu.

Datuk Seri Azalina Othman Said pada 25 Mei mengesahkan bahawa tiada satu pun parti dalam PN mendapat sumbangan daripada dana judi pada PRU15

Sehari selepas itu, Azalina menarik balik kenyataannya di Parlimen dan sebaliknya mengatakan SPRM akan meneruskan siasatan selepas Muhyiddin mendakwa kenyataan sebelum itu menjadi bukti Bersatu dan PN difitnah, kata pernyataan Bersatu.

“Hal tersebut menunjukkan dengan jelas bahawa (Anwar) dan (Zahid) mengerah siasatan SPRM terhadap Bersatu sehingga mengakibatkan pembekuan salah akaun-akaun bank Bersatu.

“Sehingga kini, Bersatu tidak pernah dimaklum atau diserahkan dengan sebarang perintah penyitaan salah.”

Permohonan penangguhan dikemukakan Bersatu akan didengar pada 22 Jun di hadapan Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Awal hari ini, satu lagi Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Bersatu meneruskan semakan kehakiman berhubung penyitaan dibuat SPRM terhadap akaun Bersatu, termasuk sekatan perjalanan terhadap Muhyiddin.

Dalam prosiding, peguam Bersatu, Rosli Dahlan, memaklumkan kepada Hakim Ahmad Kamal Shahid dalam pemfailan permohonan dan memohon kedua-dua permohonan didengar bersama.

Hakim bagaimanapun, berkata, beliau bukan berada pada kedudukan untuk mengarahkan pendaftar mahkamah berbuat demikian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here