Tubuh segera RCI tangani isu kapal LCS-Ibrahim Ali

0
221

PRESIDEN Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr Ibrahim Ali mencabar kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang lantang membasmi rasuah supaya menubuhkan segara Suruhanjaya Diraja (RCI) bagi menyiasat secara terperinci isu penyelewengan projek kapal tempur persisir (LCS).

Beliau turut meminta laporan mengenai kapal itu dibentang di parlimen dan umum untuk pengetahuan seluruh rakyat negara ini selain sidang RCI dibuat secara terbuka bagi membolehkan rakyat mengikuti sepenuhnya.

“ Isu kapal LCS sudah menjadi bangkai berkulat. Seorang ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) membuat kiraan dan mendakwa kerajaan mengalami kerugian RM3.7 bilion. Kehilangan wang negara ini sama seperti isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“ Hampir RM6 bilion sudah dibayar sebelum ini tapi satu kapal pun tidak siap.Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), pemimpin PH dan sekutunya menyerang seperti peluru roket berpandu terhadap kerajaan ketika itu.


“Selepas PRU-15 dan setelah PH bersama BN menubuhkan kerajaan, peluru roket berpandu menjadi meriam buluh yang tidak berbunyi lagi,” katanya menerusi Facebook miliknya hari ini.

Menurutnya, Panglima Angkatan Laut, Laksamana Tan Sri Aziz ketika itu memberi nasihat, malah menulis nota rasmi membantah anugerah projek kapal LCS yang dibuat tidak ikut prosedur dan keperluan tentera laut namun nasihat itu tidak diambil kira malah di tong sampahkan.

“Kerajaan Madani membuat keputusan untuk menambah peruntukan menjadikan kos satu kapal LCS berjumlah RM2.24 billion dari RM1.5 billion. Negara lain membina projek kapal LCS jauh lebih rendah dari Malaysia. Pastinya berlaku penyalahgunaan kuasa di mana tatakelola menjadi tata haru biru.

“Jika Kerajaan Madani cuba elak dan berdalih dengan berbagai alasan, maka pastilah ada pihak yang cuba dilindungi yang terlibat ada kaitan dengan penyelewengan projek kapal LCS ini.

“Rakyat diseru sama-sama bangkit, terutama badan bukan kerajaan (NGO) supaya mendesak kerajaan Madani menubuhkan segera RCI kapal LCS dengan melantik anggota berwibawa serta berintegriti secepat mungkin bagi menyiasat secara terperinci mengenai projek kapal tempur ini,” katanya.

Tambahnya,projek kapal LCS amat memalukan negara kerana jika bertempur tiada kapal maka perahu nelayan akan angkat bendera putih.

-SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here