Jatuh dalam pusaran air, tentera lemas mandi sungai

0
129

SEORANG anggota tentera ditemukan lemas selepas terjatuh di dalam pusaran air ketika mandi di Sungai Leleh Bukit Ibam dekat Muadzam Shah, Rompin, petang semalam.

Mangsa dikenali sebagai Mohd. Sabbrie Syahrie Mohd. Shah, 28, yang bertugas di Markas Tentera Darat, Cawangan Sumber Manusia, Kementah Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria, berkata pihaknya menerima laporan kejadian kira-kira 3.17 petang sebelum menghantar bantuan.

“Seramai lapan anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah serta bantuan daripada Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Pekan dan Kuantan dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Komander operasi melaporkan terdapat seorang lelaki dewasa disyaki lemas ketika mandi selepas mangsa dipercayai terjatuh ke kawasan air dalam dan berarus deras.

“Pasukan penyelamat melakukan pencarian di permukaan air sebelum memohon bantuan pasukan PPDA Pekan dan Kuantan,” katanya dalam satu kenyataan, menurut Harian Metro.

Katanya, pasukan penyelam membuat selaman di lokasi mangsa dikatakan terjatuh pukul 6.38 petang sebelum mayat mangsa ditemui di dasar sungai kira-kira 17 minit kemudian.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis dan dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk tindakan lanjut,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here