Tawaran PAS sertai kerajaan bukan daripada saya – Anwar Ibrahim

0
152

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tawaran kepada PAS untuk menyertai kerajaan perpaduan bukan datang daripadanya.

“Tak tahu (dari) siapa. Tidak dari saya, (mahu pun) pimpinan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Seminar Fikrah Siddiq Fadzil di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur hari ini.

Tambahnya, perkara itu tidak pernah dibincangkan pun oleh kepimpinan PH mahupun BN.

Sabtu lepas, Presiden PAS Hadi Awang mendedahkan beliau beberapa kali dihubungi “orang tertentu” yang menawarkan kerjasama dalam kerajaan perpaduan.

Susulan itu, Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris mendakwa tawaran itu “strategi” untuk memecahbelahkan PN dalam menghadapi PRN akan datang.

Sementara itu, Anwar menggesa Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor merujuk perjanjian Perlembagaan Persekutuan berhubung sempadan Kedah dan Pulau Pinang.

Ia susulan Sanusi dilaporkan berkata Kedah dan Pulau Pinang tidak ada sempadan kerana Pulau Pinang masih hak Kedah.

Sanusi turut mendakwa Kedah hanya mempunyai sempadan dengan Perak dan Perlis.

“Walaupun ada perjanjian 100 tahun dulu atau 1,000 tahun dulu, ia adalah perjanjian mutakhir, pertubuhan Persekutuan Tanah Melayu, Malaysia dan itu jelas…

“Saya bila ulas ini berdasarkan ulasan peguam negara yang cukup keras iaitu menghormati perjanjian pelembagan yang diperkenankan oleh semua Raja-Raja Melayu termasuk Sultan Kedah,” katanya, lapor FMT.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here