Isu dana judi satu tuduhan berat dibuat PMX tanpa bukti: KJ

0
97

TINDAKAN Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berterusan memainkan isu dana judi walaupun sudah ada jawapan di Parlimen diberikan berhubung isu tersebut disifatkan sebagai satu tuduhan yang berat, kata Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Bekas Ahli Parlimen Rembau itu berkata Perdana Menteri (PMX) yang mempertahankan dakwaannya sebelum ini sebagai tidak wajar memandangkan sehingga hari ini tidak ada bukti mahu pun siasatan dijalankan berhubung isu dana judi yang kononnya diterima Perikatan Nasional (PN).

“So memang tuduhan yang berat setakat ini tidak ada bukti… jika saya berada di tempat PN pun saya rasa marah. Sebab terus menjadi kiasan, terus menjadi sindiran, terus menjadi satu bentuk dakwaan sebelum PRN (Pilihan Raya Negeri).

“Kalau kenyataan pertama itu dibuat dua hari sebelum Pilihan Raya Padang Serai, ini sekali lagi walaupun menjawab kepada soalan daripada Ahmad Fadhli Shaari, Ahli Parlimen daripada PAS, isu ini timbul balik beberapa minggu sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) di beberapa negeri akan dibubarkan,” katanya semasa wawancara atas talian Keluar Sekejap.

Khairy yang dipecat UMNO sebelum ini berkata langkah berpolitik yang digunakan Anwar tidak digemarinya kerana hanya membuat tuduhan tanpa mempunyai bukti.

“Bagi saya, saya tidak suka cara politik beginilah. Kalau ada accusation (tuduhan), buat siasatan dan bagi tahu apakah hasil siasatan tersebut?“ katanya lagi lapor Agendadaily.

Kenyataan Khairy itu juga disokong bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan yang turut serta dalam program tersebut.

Anwar kekal dengan pendirian yang dikeluarkan sebelum ini semasa menuduh PN menggunakan wang judi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Anwar berkata tidak akan mengeluarkan dakwaan berhubung dana judi sekiranya tidak asas dan tidak akan menarik balik kenyataan, malah mengalu-alukan sekiranya PN mahu meneruskan saman terhadapnya.

Isu berkenaan berbangkit selepas Anwar ketika sidang medianya pada 5 Disember tahun lalu, membayangkan sebahagian dana pilihan raya beberapa parti Melayu dan Islam datang daripada syarikat perjudian yang terbabit dengan cabutan khas judi.

Sementara itu, dalam jawapan bertulis di Parlimen, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, memberitahu siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak dapat membuktikan dakwaan parti PN menerima dana daripada syarikat perjudian untuk berkempen dalam PRU-15 lalu.

Susulan kenyataan itu, pemimpin pembangkang bertali-arus mendesak Anwar membuat permohonan maaf atas dakwaannya sebelum ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here