PRN Terengganu: Samsuri sudah ada tarikh untuk menghadap Sultan

0
133

DATUK Ahmad Samsuri Mokhtar sudah mempunyai tarikh tertentu untuk menghadap Sultan Terengganu bagi mendapat perkenan baginda membubarkan dewan undangan negeri (DUN).

Ditemui media di Kuala Terengganu hari ini menteri besar itu bagaimanapun enggan mendedahkan secara khusus tarikh tersebut.

Kata Ahmad Samsuri dia dijangka menghadap Sultan Mizan Zainal Abidin pada pada penghujung bulan depan.

“Ada… sudah ada tarikh tapi saya tak mahu bagitahu bila,” katanya diiringi senyuman, lapor MalaysiaKini.

Ahmad Samsuri yang juga naib presiden PAS sebaliknya memberitahu dia akan menghadap Sultan Mizan

“Pada minggu ketiga, insya-Allah saya akan menghadap ke bawah duli Tuanku… selepas minggu ketiga Jun.

“(Saya akan) Menghadap dan memohon pembubaran,” katanya.

Terengganu adalah satu daripada enam kerajaan yang perlu mengadakan pilihan raya negeri (PRN) pada tahun ini selepas kali terakhir mengadakannya pada 2018.

Mengikut perlembagaan sesebuah negeri perlu mengadakan pilihan raya dalam tempoh lima tahun.

Tidak seperti kebiasaan, Terengganu, Selangor, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan tidak membubarkan DUN masing-masing untuk menyertai PRU ke-15 pada 19 Nov tahun lalu.

Kedah, Kelantan dan Terengganu merupakan negeri yang ditadbir oleh PAS-PN, manakala tiga negeri lain di bawah pentadbiran PH.

Dijangkakan keenam-enam negeri terbabit akan bersepakat membubarkan DUN masing-masing.

Sebelum ini Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, dilaporkan bakal menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah pada minggu ketiga atau keempat Jun bagi memohon perkenan pembubaran DUN.

Amirudin berkata permohonan itu akan dibuat sebelum DUN terbubar secara automatik pada 25 Jun ini.

Sementara itu, Ahmad Samsuri yakin PAS mampu mempertahankan kerajaan Terengganu berdasarkan sokongan rakyat ketika ini.

Malah dia turut yakin parti itu – bersama PN – mampu kekal di Kelantan dan Kedah dengan lebih kukuh berbanding sekarang.

“Saya percaya kerajaan yang dimenangi sebelum ini Kelantan, Kedah dan Terengganu kita akan mempertahankan kemenangan dengan keputusan lebih baik.

“Untuk tiga negeri lagi (Pulau Pinang, Kedah dan Selangor), kita akan lakukan kejutan insya-Allah,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here