Chef Wan Noor bersyukur 14 kali dapat berkhidmat sambil mengumpul pahala di Mekah

0
146

TAHUN ini kali ke-14 Wan Noor Zamran Hashim bertugas di Tanah Suci Mekah sebagai tukang masak yang bertanggungjawab untuk menyediakan hidangan bagi petugas-petugas Lembaga Tabung Haji (TH).

Sinar Harian melaporkan, bagi anak kelahiran Ipoh, Perak berusia 52 tahun itu, peluang dapat menyumbang kepakaran di bumi penuh barokah ini adalah cukup berharga dalam hidupnya kerana dapat berkhidmat sambil mengumpul pahala.

“Pertamanya nak ucap terima kasih kepada TH kerana memilih saya untuk berkhidmat kepada petugas yang akan menyantuni Dhuyufurrahman. Secara tidak langsung saya juga dapat tempias pahala yang ada pada petugas. Itu antara kelebihan yang kita minta daripada Allah SWT supaya kami juga mendapat rahmat-Nya.

“Selain itu sepanjang pengalaman lalu saya berpeluang berkhidmat kepada jemaah apabila dikehendaki menyediakan masakan kepada jemaah haji yang sakit mengikut keperluan diminta oleh hospital.

“Itulah perasaan saya, rasa syukur tidak terhingga dan bertuah dapat berkhidmat di bumi ini kerana pada usia sebegini, kita sehabis baik mahu mencari peluang untuk menambah pahala,” katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan ibadah haji.

Menyoroti kembali bagaimana boleh terpilih untuk ke Tanah Suci, beliau yang mesra disapa Cef Wan Noor berkata, semuanya bermula pada tahun 2008 apabila dirinya terlibat dalam program pemasaran demonstrasi masakan sebuah syarikat rempah ratus di Malaysia.

“Kebetulan pihak TH berminat dengan produk itu dan mahu cef yang memasak hidangan pada masa itu turut dibawa bersama ke Tanah Suci. Bermula dari saat itulah saya sering mendapat peluang ke Makkah untuk berkhidmat,” katanya.

Di samping itu, Wan Noor berkata, kenangan dapat menyediakan hidangan kepada beberapa orang kenamaan juga adalah pengalaman yang amat bernilai bagi dirinya.

Antaranya mengendalikan santapan untuk Almarhum Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah; bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; bekas Menteri Agama, Datuk Dr Mujahid Yusof dan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Menyentuh mengenai tugasan kali ini, Wan Noor yang merupakan seorang usahawan dan mempunyai perniagaan kedai kek dan kilang biskut di Petaling Jaya bekerjasama dengan dua orang cef berpengalaman iaitu Cef Muhamad Ramli, 36, dan Cef Yusairi Mustafa, 45, yang kedua-duanya adalah tukang masak di hotel terkemuka di Kuala Lumpur.

Mereka bertanggungjawab memasak untuk petugas-petugas di ibu pejabat TH di bandar Mekah dan juga di semua bangunan TH termasuklah 12 maktab di sekitar Mekah.

“Kami mulakan operasi seawal jam 3 atau 3.30 pagi mengikut keperluan dan makanan yang disediakan ialah tiga hidangan utama iaitu sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam.

“Biasanya sarapan pagi, kita sediakan menu yang mempunyai citarasa Malaysia supaya hidangan yang disediakan di sini sama seperti di tanah air,” katanya.

Ujar beliau lagi, pihaknya akan berusaha masak hidangan seperti di Malaysia agar petugas yang berkhidmat dapat menghilangkan penat lelah apabila merasai masakan yang seolah-olah berada di tempat sendiri.

“Kami berkhidmat untuk memberi makanan kepada semua petugas supaya mereka terubat rasa rindu kepada kampung halaman, jadi tidak rasa sedih berjauhan dengan keluarga sambil berkhidmat.

Sebagai tukang masak, mereka perlu kreatif bagi memenuhi selera petugas yang mempunyai pelbagai latar belakang contohnya terdapat sesetengah petugas yang gemarkan masakan kari tetapi tidak menarik minat orang lain.

“Jadi kita kena masak menu yang dapat memenuhi keperluan semua seperti nasi ayam yang diketahui boleh menepati selera ramai.

“Syukur kepada Allah kerana di sini juga kita tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan bahan mentah yang segar kerana banyak pasar segar yang menjual ikan,ayam, daging, sayuran dan buah-buahan yang memudahkan tugas kami sebagai tukang masak,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here