Pegawai, anggota tentera maut kereta langgar belakang lori

0
224

SEORANG pegawai dan anggota tentera maut dalam nahas selepas kereta Proton Persona dinaiki mereka melanggar bahagian belakang sebuah lori di Kilometer 48 Jalan Teluk Intan-Klang, semalam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Agus Salim Mohd. Alias berkata, mangsa yang berusia 28 dan 49 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, kaunter aduan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam menerima panggilan daripada Pusat Kawalan Daerah (DCC) memaklumkan terdapat kemalangan melibatkan sebuah kereta dan lori pada pukul 3.20 petang.

“Siasatan awal mendapati lori dipandu seorang lelaki berusia 35 tahun baru menjalani kerja pembersihan jalan dan dalam keadaan mengundur untuk mengutip kon selepas selesai kerja pembersihan jalan.

“Setiba di lokasi kejadian, kereta dinaiki kedua-dua mangsa dari arah Sabak Bernam menghala ke Klang gagal mengelak lalu melanggar bahagian belakang lori berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Agus Salim memberitahu, akibat kemalangan itu, pemandu kereta yang juga Lans Koperal dan penumpang berpangkat Leftenan Kolonel mengalami cedera parah di bahagian kepala, manakala pemandu lori tidak cedera.

Ujarnya, dua mangsa maut yang beralamat di Markas Tentera Darat Cawangan Sumber Manusia Kementah, Kuala Lumpur itu dipercayai dalam perjalanan dari Lumut menuju ke Port Dickson.

“Mayat kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sabak Bernam untuk bedah siasat selepas keputusan ujian saringan Covid-19 diperoleh dan kemalangan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya, lapor Sinar Harian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here