Ronald Kiandee desak kerajaan Sabah segera selesai masalah air dan elektrik

0
145

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Seri Ronald Kiandee menyifatkan Kerajaan Negeri Sabah sebagai gagal dalam mengurus dan mengambil tindakan sewajarnya sehingga berlaku gangguan bekalan elektrik dan air yang kritikal di negeri itu

Justeru Ahli Parlimen Beluran itu mendesak kerajaan pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor itu segera mengambil tindakan lebih berkesan untuk menangani masalah berkenaan yang semakin kritikal ketika ini sehingga menjejaskan kehidupan penduduk.

Dakwa Ronald, jika sebelum ini masalah berkenaan hanya berlaku di kawasan luar bandar, namun ia kini mula menular ke bandar termasuk ibu negeri Kota Kinabalu.

“Malah lebih serius lagi beberapa hari lalu Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu juga tidak terkecuali daripada mengalami gangguan bekalan air.

“Kegagalan kerajaan negeri menangani gangguan bekalan utiliti penting ini memalukan dan merosakkan imej Sabah sebagai negeri pelaburan dan pelancongan.

“Kegagalan kerajaan negeri menangani masalah ini mengecewakan dan bertentangan dengan hasrat seperti yang digariskan dalam teras Sabah Maju Jaya (SMJ) iaitu untuk memberi fokus kepada pertumbuhan ekonomi dan mengutamakan pembangunan infrastruktur,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Khamis.

Ujarnya lagi, kerajaan Sabah sepatutnya mempunyai perancangan yang baik untuk mengatasi masalah yang menyebabkan kehidupan tidak selesa penduduk negeri ini.

“Rakyat Sabah tentu ingin melihat Kerajaan Madani (Persekutuan) dan Kerajaan Sabah Maju Jaya ini lebih prihatin dan mengambil tindakan berkesan untuk menangani masalah gangguan bekalan elektrik dan air yang sedang melanda Sabah ketika ini.

“Gangguan bekalan elektrik dan air yang kritikal pada masa ini adalah disebabkan oleh kegagalan kerajaan negeri mengurus dan mengambil tindakan yang telah dikenalpasti sejak sekian lama,” katanya, lapor Astro AWANI.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here