Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan digodam untuk dapatkan wang tebusan?

0
148

KEJADIAN siber yang melanda sistem dalam talian Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan Financial Services Authority atau Labuan FSA) pada penghujung bulan lalu dipercayai angkara sekumpulan penggodam yang mahu mendapatkan wang tebusan.

Menurut sumber, sistem teknologi maklumat Labuan FSA mengandungi data-data sensitif dan sulit berhubung syarikat-syarikat luar pesisir, badan-badan amanah, dan yayasan-yayasan, serta maklumat insurans and perbankan, di samping menyimpan butiran pemegang-pemegang saham, pendana-pendana, pemegang-pemegang amanah, dan benefisiari perbadanan-perbadanan yang berdaftar di tempat berlindung cukai itu.

Awal hari ini, Labuan FSA mengumumkan ia mengalami gangguan perkhidmatan pada 27 April dan mengambil beberapa langkah segera bagi melindungi sistem daripada akses tanpa kebenaran.

Sebagai langkah keselamatan, operasi yang terjejas dikendalikan secara luar talian untuk sementara waktu bagi mengelakkan pendedahan kepada lain-lain risiko, dan ia sedang memastikan kesan insiden tersebut terhadap sistem aplikasinya.

Kejadian itu juga telah dimaklumkan kepada pihak berkuasa yang berkenaan,” katanya.

Labuan FSA selaku badan berkanun bawah Kementerian Kewangan berperanan sebagai badan kawal atur, penyeliaan, dan penguatkuasaan bagi perniagaan-perniagaan antarabangsa dan industri perkhidmatan kewangan di Labuan.

Sumber di peringkat tertinggi memberitahu FMT bahawa kejadian godam itu dimaklumkan dalam satu mesyuarat antara ketua pengarah FSA dan wakil-wakil para pemegang taruh minggu lepas.

Sementara itu, seorang pegawai bank di Labuan berkata, kejadian itu menyebabkan bank terpaksa membuat laporan secara manual.

Gangguan itu juga menyebabkan syarikat-syarikat tidak dapat membuat pendaftaran dengan segera, tambahnya.

“Syarikat-syarikat asing ini membayar kepada negara cukai kira-kira RM900 juta hingga RM1 bilion. Kelewatan adalah merugikan. Ekonomi Labuan akan terkesan kerana syarikat-syarikat tidak dapat buka perniagaan,” katanya.

Jurucakap Kementerian Kewangan ketika dihubungi berkata, Labuan FSA mengambil langkah-langkah mengurangkan gangguan ke atas industri perkhidmatan kewangan dan perniagaan.

FMT sedang mendapatkan komen Ketua Pengarah Labuan FSA, Nik Mohamed Din Nik Musa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here