Penyertaan KJ nilai tambah kepada parti – Faiz Na’aman

0
124

MEMILIKI ketokohan tersendiri dalam menarik sokongan orang muda diyakini antara sumbangan terbesar mampu diberikan Khairy Jamaluddin Abu Bakar kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) jika bekas Ketua Pemuda UMNO itu menerima tawaran sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti tersebut.

Ahli MPT Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman berkata, dengan daya tarikan ini, penyertaan bekas Ahli Parlimen Rembau berkenaan secara tidak langsung berupaya memberi nilai tambah bukan sahaja kepada parti bahkan Perikatan Nasional (PN) sendiri.

“Sudah tentu beliau (Khairy) mampu menarik sokongan bukan sahaja kelompok politik tetapi juga belia, korporat dan sebagainya yang menyukai beliau.

“Keadaan ini pastinya memberi nilai tambah kepada Bersatu secara khusus dan PN secara amnya dalam persiapan menghadapi enam pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi ini.

“Malah, saya sebagai ahli politik muda secara peribadi amat mengagumi beliau dalam beberapa hal,” katanya, lapor Sinar Harian semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sumbangan yang mampu diberikan Khairy sekiranya menerima tawaran menyertai barisan kepimpinan Bersatu.

Pada Rabu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan Khairy telah ditawarkan memegang jawatan ahli MPT Bersatu.

Sementara itu, ditanya mengenai tawaran yang dibuat kepada Khairy oleh Muhyiddin itu mendapat persetujuan parti atau sebaliknya, Muhammad Faiz berkata, barisan kepimpinan memberi mandat sepenuhnya kepada Ahli Parlimen Pagoh itu untuk membuat sebarang keputusan.

“Kita sememangnya sudah menjangkakan pasti ada pelawaan daripada barisan kepimpinan terutamanya Muhyiddin secara peribadi dan kita memberi mandat untuk Tan Sri (Muhyiddin) berhubung dengan Khairy secara formal atau tidak formal,” kata beliau.

Ujarnya lagi, melihat kepada ketokohan politik Khairy di peringkat nasional, bekas Menteri Kesihatan itu disifatkan sebagai layak untuk mendapat tempat dalam barisan MPT mana-mana parti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here