Pengkritik persoal mengapa tidak siasat ketirisan masa Anwar dalam kerajaan

0
198

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta tidak membuat siasatan terpilih selepas mengarahkan pihak berkuasa menjalankan siasatan berhubung laporan Malaysia mengalami kerugian mencecah RM4.5 trilion dalam tempoh 26 tahun akibat rasuah dan ketirisan.

Sebaliknya, beliau perlu membuat siasatan penuh termasuk tempoh 15 tahun penglibatannya sebagai menteri kewangan dan timbalan perdana menteri sejak tahun 1980-an sehingga dipecat daripada jawatan tersebut pada 1998.

Ketua Penerangan Bersatu Datuk Razali Idris berkata arahan yang dibuat oleh perdana menteri itu jelas menunjukkan ianya sebagai satu bentuk siasatan terpilih.

Katanya, jika Anwar benar-benar jujur mahu membina dan mengangkat pentadbiran negara dengan tata kelola yang baik maka beliau perlu menyatakan arahan siasatan itu bermula daripada tahun beliau menyertai kabinet dalam pentadbiran kerajaan terdahulu.

“Daripada tahun 80-an lagi. Itulah yang akan menampakkan beliau ini betul-betul mahu membersihkan negara daripada kes-kes atau ketirisan yang berlaku.

“Di mana kroni-kroni Anwar yang kaya? Dan kita minta juga supaya pihak berkuasa siasat juga ketirisan negara sebanyak RM7 bilion setiap tahun akibat kegiatan haram ekonomi bayangan. Itu zaman siapa?

“Jadi perkara ini kita nak minta dan desak  beliau supaya berlaku adil jangan terpilih.” katanya, lapor MalaysiaNow.

Beliau mengulas arahan umum Anwar kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM) dan polis supaya menyiasat perkara tersebut mengikut lunas perundangan sedia ada.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris

Dalam pada itu, seorang peguam berpandangan apa yang disebutkan Anwar itu lebih bersifat politik berbanding pendirian dalam aspek perundangan.

Menurut Rafique Rashid, jika Anwar telus ingin mencari salah laku dan ketirisan dalam pentadbiran negara mengapa beliau hanya memfokuskan kepada tempoh 26 tahun itu sahaja.

“Seolah-olah nak cari salah orang-orang lain. Sedangkan umum sedia tahu Anwar berada dalam Kabinet dan kerajaan dari tahun 1982.  Mengapa beliau tak pergi jauh? Contohnya dari tahun 1982 hingga 1998, tempoh 15 tahun,” katanya kepada MalaysiaNow.

Tambahnya lagi, memang benar Anwar dipecat daripada kerajaan Dr Mahathir Mohamad tetapi ianya masih tak boleh menolak fakta bahawa beliau pernah memegang portfolio penting sepanjang tempoh tersebut.

“Jadi kalau nak berlaku adil kepada rakyat, siasatlah lebih jauh dari 26 tahun. Kenapa nak tumpu 26 tahun itu sahaja?”

Anwar dilantik menjadi menteri kewangan pada tahun 1991 dan diangkat menjadi timbalan perdana menteri pada tahun 1993 selepas memenangi jawatan timbalan presiden Umno menentang Ghafar Baba.

Sebelum ini, badan pemikir bebas Emir Research mendedahkan Malaysia dianggarkan mengalami kerugian sebanyak RM4.5 trilion dalam tempoh 26 tahun disebabkan rasuah dan ketirisan.

Badan pemikir diketuai Rais Hussein yang menyertai PKR menjelang pilihan raya umum tahun lalu itu, turut menjelaskan anggaran kerugian yang dihadapi negara bermula dari Krisis Kewangan Asia pada 1997 sehingga tahun ini adalah secara konservatif dan jumlahnya berkemungkinan lebih besar.

Susulan itu, Anwar bertindak membuat pengumuman umum meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan segera.

“Kerana ada orang-orang yang diketahui rasuah berbilion, dan dah berpuluh tahun selamat sebab tak berani sentuh,” katanya dipetik ketika menghadiri majlis sambutan Aidilfitri Malaysia Madani di Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.

Ketika ditanya, adakah siasatan tersebut hanya boleh dijalankan selepas Anwar mengeluarkan arahan umum sedemikian, Rafique menafikan.

Katanya, siasatan boleh dilakukan pada bila-bila masa dan tidak perlu menunggu arahan khusus daripada perdana menteri.

Ini kerana jelasnya, pihak berkuasa membuat siasatan untuk lunas undang-undang dan kepentingan rakyat bukannya perkhidmatan untuk ahli politik mahupun perdana menteri sendiri.

“Undang-undang tak perlu tunggu, sesiapa pun boleh jalankan siasatan selagi pihak itu ada kuasa untuk menyiasat.”

Dalam pada itu, seorang peguam Haniff Khatri Abdullah menarik perhatian berbeza mengenai isu tersebut.

Katanya, terdapat dua isu utama yang perlu diteliti dalam hal ini.

Pertamanya, beliau bersetuju mengapa siasatan hanya difokuskan bagi tempoh 26 tahun itu sahaja sedangkan sekitar tahun 1997 dan tahun-tahun sebelumnya terdapat laporan akhbar yang melaporkan bahawa wujud unsur kronisme dalam kerajaan melibatkan Anwar sebagai anggota Kabinet.

“Jadi kenapa dikhususkan kepada selepas tahun 1998 dan bukan sebelum itu?

“Padahal kalau nak siasat ketirisan, semua kena terlibat. Wajib disiasat termasuk Tun (Dr Mahathir), Muhyiddin Yassin dan semua sekali.”

Keduanya, pihak Anwar sendiri, anggota kerajaan dan rakyat perlu jelas apakah asas dan pembuktian bahawa negara benar-benar hilang jumlah sebanyak RM4.5 trilion itu?

“Jadi, kita kena tahu bagaimana kajian itu dikendalikan.

“Soal suruh siasat RM4.5 trilion itu tidak tepat sehingga kita sahkan yang hilang itu RM4.5 trilion ataupun jumlah sebenarnya berbeza?”

Atas sebab itu, Haniff menegaskan adalah lebih baik sekiranya Anwar menyatakan akan mengesahkan tentang kajian itu terlebih dahulu dan apakah jumlah yang sebenarnya ditiriskan daripada perbendaharaan negara.

Pada perkembangan sama, Rafique mengesyorkan orang ramai untuk menggunakan khidmat ahli Parlimen masing-masing untuk menyuarakan perkembangan siasatan tersebut dalam persidangan Parlimen akan datang.

Ini bagi memastikan siasatan tersebut tidak disenyapkan daripada pengetahuan umum.

“Gunakan wakil rakyat untuk tanya betul ke siasatan dah mula? Siapa yang dah dipanggil untuk siasatan , siapa yang dah ditahan atau siapa dah dituduh?

“Sebab kesalahan jenayah tak ada had waktu. Kalau kesalahan tersebut berlaku pada tahun 70-an, boleh dituduh hari ini jika cukup bukti dan cukup keterangannya.” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here