66 individu positif dadah ditahan dalam serbuan di 3 pusat hiburan

0
137

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

POLIS Pulau Pinang menahan seramai 66 individu termasuk 17 warga asing dalam operasi khas pusat hiburan di kawasan Timur Laut dan Bukit Mertajam, awal pagi hari ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, mereka merupakan sebahagian daripada 124 individu yang ditahan dan diperiksa dalam operasi khas di tiga buah pusat hiburan masing-masing dua di daerah Timur Laut dan satu di Seberang Perai Tengah (SPT).

Jelas beliau, mereka yang ditahan itu masing-masing 40 lelaki termasuk seorang warga asing dan 26 wanita termasuk 16 wanita warga asing yang ujian saringan air kencing mereka didapati positif pelbagai jenis dadah.

“Dalam operasi ini juga, kita berjaya merampas dadah jenis MDMA seberat 275 gram bernilai RM3,200.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komissioner Soffian Santong berkata, polis menahan dua lelaki warga tempatan kerana menggajikan pekerja warga asing tanpa permit yang sah dalam serbuan di pusat hiburan di pusat bandar Georgetown, awal pagi ini.

Katanya, dalam serbuan kira-kira pukul 1.30 pagi itu, polis turut menahan dua lelaki dan lapan wanita warga asing atas kesalahan melanggar syarat pas lawatan dan tiada dokumen perjalanan yang sah.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-peraturan Imigresen 1959/63 dan Akta Imigresen 1959/63.

“Kita juga telah menjalankan ujian saringan awal air kencing ke atas 49 individu berumur antara 20 hingga 51 tahun yang mana 24 daripadanya iaitu lapan wanita dan 16 lelaki positif pelbagai jenis dadah dan kesemua tangkapan berusia 25 hingga 50 tahun.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) 1952 Akta Dadah Berbahaya,” katanya.

Tambahnya, polis sentiasa komited dalam mencegah kegiatan jenayah dan penyalahgunaan dadah dan perasi serta pelbagai langkah pencegahan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membendung aktiviti tersebut. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here