Gaduh selepas kemalangan, 6 ahli keluarga mangsa ditahan

0
131

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

SERAMAI enam individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan melibatkan ahli keluarga mangsa yang terbabit dalam kemalangan antara sebuah motosikal dan kereta di Tanjung Bungah, Pulau Pinang pada 8 Mei lalu.

Video kejadian kemalangan dan pergaduhan itu tular di media sosial Facebook hari ini selepas dimuat naik pemilik akaun Facebook Alex Law kira-kira pukul 2 petang.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kesemua individu berkenaan bagaimanapun telah diberikan jaminan polis.

Menurut beliau, hasil semakan polis mendapati kejadian itu berlaku kira-kira pukul 11.20 pagi di Jalan Loh Poh Heng, Tanjung Bungah.

”Pergaduhan berpunca daripada pertengkaran mulut antara ahli keluarga kedua-dua pihak yang terlibat dalam kemalangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menerusi video yang tular itu, terdapat sekumpulan individu bergaduh di lokasi kemalangan maut melibatkan penunggang motosikal dan sebuah kereta.

Menurut Soffian, kemalangan melibatkan sebuah motosikal ditunggang oleh seorang wanita tempatan dengan sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki tempatan.

Katanya, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Sehubungan itu, tambah beliau, polis membuka siasatan kemalangan maut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama 10 tahun dan denda sehingga RM50,000.

Tambahnya, kes pergaduhan pula disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan
(kesalahan merusuh) yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman
penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

“Siasatan juga dibuat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan (mendatangkan cedera) yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama setahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihati ramai agar tidak menularkan rakaman video kejadian tersebut untuk mengelakkan sebarang spekulasi. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here