Kumpulan pengguna gesa projek tambak laut Pulau Pinang dihenti sepenuhnya

0
261

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) hari ini menggesa kerajaan Pulau Pinang menghentikan sepenuhnya penambakan di selatan pulau itu, susulan pengumuman berkaitan pengurangan skala projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSI) sebanyak 49%.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow semalam berkata projek itu akan diteruskan dengan pembinaan hanya satu daripada tiga pulau buatan yang dirancang di perairan Permatang Damar Laut, dekat Bayan Lepas. 

“Hanya Silicon Island (Pulau A) seluas 2,300 ekar (930.7) akan dilaksanakan dalam dua fasa dengan keseluruhan membabitkan tempoh 10 hingga 15 tahun bagi kerja-kerja tambakan, manakala Pulau B membabitkan keluasan 1,400 ekar (566.5 hektar) dan Pulau C seluas 800 ekar ( 323.7 hektar) tidak diteruskan,” katanya pada sidang media di Georgetown.

Namun presiden CAP, Mohideen Abdul Kader menggesa kerajaan negeri supaya tidak terdesak melaksanakan penambakan itu, sama ada untuk satu atau tiga pulau.

“Menamakan satu pulau sebagai Pulau Silikon dan menawarkan lokasi tarikan pelancong bukan jawapan kepada persoalan yang ditimbulkan berulang kali berhubung: apakah keperluan untuk penambakan dengan kesan ekologi dan sosial yang negatif? 

“Perdana menteri menggesa projek penambakan itu dikaji semula. Pertimbangan utama kajian semula itu ialah sama ada projek itu diperlukan dan bermanfaat untuk rakyat,” katanya. 

“Jangan tergesa-gesa bertindak dan hanya menambak satu pulau. Teruskan proses kajian, yang harus dilakukan oleh pakar bebas dengan input daripada pertubuhan masyarakat sivil. Sementara itu, jangan libatkan kerajaan – negeri dan Persekutuan – kepada sebarang liabiliti kewangan.”

Projek PSI itu mendapat bantahan daripada masyarakat nelayan dan kumpulan alam sekitar di negeri ini, yang mengatakan ia akan merosakkan ekosistem marin di kawasan tersebut. 

Kumpulan alam sekitar, Sahabat Alam Malaysia dalam pada itu berkata Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) yang baru perlu dilaksanakan, memandangkan perubahan dalam konsep pembangunan.

Laporan asal kelulusan EIA untuk projek itu diberikan bulan lepas. 

Bagaimanapun Presiden SAM Meenakshi Raman berkata EIA baharu perlu dilakukan kerana projek itu kini hanya melibatkan satu pulau.

“Contohnya, perlu ada penilaian kesan hidraulik dan hidrologi yang baharu meliputi aliran semasa, paras air, keadaan ombak, pemendapan dan hakisan dan lain-lain lagi,” katanya.

“Selain itu, kajian penghijrahan udang yang perlu dilakukan lebih awal di bawah EIA yang baharu diluluskan itu masih belum selesai.

“Komponen penting ini perlu dinilai memandangkan penambakan Pulau A melibatkan kawasan seluas 2,300 ekar, yang masih sangat ketara dari segi kesannya kepada hidupan marin, penghijrahan udang, keterjaminan makanan dan sebagainya.”

Meenakshi dalam satu kenyataan berkata, keperluan projek itu juga telah berubah kerana kerajaan Persekutuan kini menyediakan dana yang diperlukan untuk menangani isu pengangkutan di Pulau Pinang. 

Katanya, ia susulan pengumuman pada 6 Mei bahawa Putrajaya akan memberikan peruntukan tambahan untuk membantu kerajaan Pulau Pinang mempercepatkan cadangan projek LRT Georgetown-Bayan Lepas.

Mohideen dalam kenyataannya memetik perjanjian ini, berkata terdapat juga tanah yang mencukupi di Pulau Pinang untuk pembangunan ekonomi. 

“Jadi kenapa  perlu penambakan laut yang begitu luas?” tambahnya, lapor MalaysiaNow.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here