Anak gagal bayar hutang, ibu bapa diugut along

0
186

SEPASANG suami isteri hidup dalam ketakutan selepas diugut beberapa pemberi pinjaman wang secara haram atau “along” kerana tindakan anak lelakinya yang gagal membuat bayaran selepas meminjam wang daripada pihak terbabit.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Miss Khong, 54, menyatakan dia dan suaminya menerima ugutan termasuk mahu membakar kediaman mereka di Taman Desa Pengkalan selain menyimbah najis ke rumah itu sekiranya tidak membayar pinjaman anak mereka.

“Anak saya berusia 31 tahun sebelum ini memang pernah berhutang dengan along sejak 10 tahun lepas dan sebelum ini kami sudah pernah melangsaikan hutang anak lebih RM5,000 tetapi tabiat meminjam masih berterusan sehingga dia melarikan diri pada 14 April 2021. 

“Selepas dia menghilangkan diri, ada beberapa along daripada tiga syarikat menghubungi saya dan menuntut kami menjelaskan hutang berkenaan termasuk ugutan menyebabkan saya terpaksa membuat kenyataan di akhbar mengenai perkara itu, selain laporan di Balai Polis Pekan Baharu kerana tidak tahan dengan gangguan mereka,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Ipoh Timur dekat Ipoh hari ini. 

Miss Khong berkata terbaharu pada Rabu lepas, beliau menerima ugutan menerusi panggilan termasuk melalui aplikasi WhatsApp agar melunaskan pinjaman yang dilakukan anaknya yang tidak diketahui jumlah sebenar, atau individu terbabit menularkan muka anaknya. 

“Saya merayu kepada individu yang meminjamkan wang kepada anak saya supaya tidak mengganggu keluarga kami memandangkan kami tidak lagi berhubungan dengan anak kami sejak dia menghilangkan diri dua tahun yang lepas.

“Sekarang saya sudah tiada wang untuk membantunya lagi. Saya juga tidak tahu anak saya berada di mana, malah saya bimbang kalau-kalau nyawa saya dan suami terus terancam,” katanya. 

Sementara itu, Pegawai Khas Ahli Parlimen Ipoh Timur Yeong Seng Hoong berkata wanita berkenaan datang membuat aduan ke pejabatnya mengenai perkara itu Rabu lepas.

“Kami nasihatkannya untuk membuat laporan polis dan berharap siasatan polis dapat membantu keluarga ini.

“Dalam kes seperti ini, along sepatutnya mencari penghutang dan bukan secara terus mengganggu ahli keluarga,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here