Wanita maut dipercayai dipukul abang kandung

0
179

SEORANG wanita maut disyaki akibat dipukul abang kandungnya sendiri dalam kejadian di kediaman mereka di Jalan Signal Hill, Kota Kinabalu, Khamis lepas. 

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Mohd Zaidi Abdulah berkata mangsa yang berusia 25 tahun itu disahkan meninggal dunia 10.30 malam Sabtu di Hospital Queen Elizabeth II di sini setelah dua hari menerima rawatan di hospital berkenaan.

“Mangsa ditemui kira-kira 4.50 petang oleh bapanya dalam keadaan tertiarap dan tidak sedarkan diri dengan kesan luka teruk di bahagian muka. Bapa mangsa mengesyaki anak lelakinya yang memukul mangsa kerana hanya suspek dan mangsa berada di rumah pada ketika itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zaidi berkata sejurus selepas laporan dibuat, satu tangkapan dilakukan terhadap abang kandung mangsa berusia 26 tahun di rumah berkenaan serta merampas dua bentuk cincin dipercayai digunakan suspek untuk mencederakan mangsa.

“Hasil saringan ujian air kencing terhadap suspek menunjukkan tiada sebarang kesan pengambilan dadah dan suspek telah ditahan reman selama empat hari sehingga semalam untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here