Sanusi tampil perbetul dakwaan TPM mengenai tapak lombong haram

0
113

Oleh RIZQI ZABIDI

TANPA ada rasa gentar, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor tampil membetulkan salah faham dan kesilapan fakta oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang mendakwa kebanyakan tapak perlombongan haram di negara ini berada di negeri tersebut.

Menurut Muhammad Sanusi, tindakan dilakukannya itu bukan termasuk dalam kategori mendedahkan rahsia sulit negara sebaliknya merupakan kewajipan membetulkan salah maklumat ditularkan pengerusi mesyuarat dalam sidang akhbar Fadillah semalam.

Katanya, Fadillah telah salah faham mengenai jumlah lombong haram seluruh negara yang beliau sebutkan dalam Mesyuarat Majlis Mineral Negara (MMN) semalam.

“60 lombong haram yang saya sebutkan itu adalah daripada sumber agensi tertentu yang sampai kepada saya. Bukan hanya tertumpu di Kedah tetapi seluruh negara.

“Hal ini diakui benar oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (KetSA) dalam mesyuarat itu,” katanya dalam status dimuat naik di laman Facebooknya malam tadi.

Dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat itu semalam, Timbalan Perdana Menteri mendakwa sebanyak 60 tapak perlombongan haram dikesan di seluruh negara dengan kebanyakannya dilaporkan di Kedah.

Fadillah mendakwa, perkara itu turut diakui sendiri oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, mereka yang terlibat dengan kegiatan perlombongan haram di Kedah yang ‘famous’ sebelum ini sudah pun ‘dicekup’ dan didakwa.

“Maknanya yang masih beroperasi itu ada di tempat lain, bukan berlambak di Kedah. Kalau betul ada lombong haram di Kedah, pakar geologi dan pakar lombong Pakatan Harapan (PH) bersama Barisan Nasional (BN) sudah raya sakan sebelum puasa lagi.

“Sekian dimaklumkan, jangan tuduh saya dedah rahsia negara pula,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here