Punca kebakaran kapal MT Pablo akan dikenal pasti – Maritim

0
166

PASUKAN forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan mengenal pasti punca kejadian kebakaran kapal MT Pablo, pada 1 Mei lepas. 

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim Laksamana Muda Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata usaha itu dilakukan bagi mengesan punca kejadian itu berlaku. 

Bagaimanapun, beliau berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga kru kapal tangki berkenaan yang masih hilang akan diteruskan, sekiranya petunjuk baharu dijumpai. 

“Buat masa ini, berdasarkan apa yang kita siasat dan tanya kepada ‘master’, ‘chief engineer’ dan rakan-rakan yang selamat, mereka menyatakan mangsa masih berada di kapal dan tak nampak mangsa jatuh ke laut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Op Redback ke-18 di Zon Maritim Tanjung Sedili, di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu Pengarah Maritim Negeri Johor dan Kaunselor Australian Border Force (ABF) Superintendan John Flaming.

Terdahulu, berdasarkan hasil pencarian dan penilaian keselamatan kapal, pihak Pusat Sub Penyelamat Maritim Johor Bahru telah menangguhkan SAR pada Jumaat lepas, sehingga petunjuk baharu ditemukan. 

Dua daripada kru kapal yang hilang itu dikenal pasti sebagai warganegara India iaitu Satyam Tripathi, 26, dan Dinesh Kumar Chauhan, 34, manakala seorang lagi ialah warga Ukraine iaitu Sabit Shenderovskyi, 37.

Kapal tangki MT Pablo berdaftar di Gabon, Afrika terbakar kira-kira 50 peratus pada kedudukan 37.5 batu nautika timur laut Tanjung Sedili di Kota Tinggi pada 1 Mei lepas.

Berhubung Operasi Redback ke-18 pula, Aminuddin berkata ia merupakan kerjasama dua negara yang telah dilaksanakan sejak 10 tahun lepas antara Maritim Malaysia dengan ABF dalam usaha membanteras dan mengekang aktiviti jenayah di laut khususnya aktiviti jenayah rentas sempadan.

Beliau berkata turut diadakan bengkel tiga hari sempena Operasi Redback itu melibatkan sebanyak 25 pegawai daripada pelbagai agensi.

Dalam pada itu, ABF turut berkongsi kepakaran dengan agensi penguat kuasa tempatan dalam bidang keselamatan termasuk pelaksanaan risikan dan operasi, bagi mengekang kegiatan jenayah rentas sempadan, kata beliau.

“Program ini bertujuan memperkasa anggota penguat kuasa termasuk Maritim, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Laut Malaysia dan Jabatan Perikanan Malaysia melalui teoritikal, praktikal serta taktikal dalam menangani isu-isu berkaitan jenayah,” katanya. 

— BERNAMA 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here