Kes rasuah: Wan Saiful hantar surat kepada SPRM

0
143

BEKAS Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan menghantar surat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu perundangan membabitkan dua pertuduhan rasuah yang dihadapinya.

Peguam Amer Hamzah Arshad mewakili Wan Saiful memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob bahawa pihaknya menyerahkan surat tersebut melalui e-mel pada 2 Mei lepas.

“Kami mahu pihak pendakwaan meneliti isu yang dibangkitkan dalam surat tersebut. Pihak pembelaan mengambil langkah yang sepatutnya kerana ia membabitkan pertuduhan yang akan dibicarakan di mahkamah,” katanya pada pengurusan kes hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Amirah Muhammad Ali berkata pihaknya menerima surat berkenaan pada 3 Mei dan sedang mempertimbang isu yang dibangkitkan.

“Surat tersebut akan dirujuk kepada pengarah pendakwaan dan kami akan memberi maklum balas mengenai perkara tersebut dalam tempoh 14 hari dari tarikh surat itu diterima,” katanya.

Selain itu, Siti Amirah berkata pihaknya masih belum memperoleh beberapa dokumen daripada pihak bank berkaitan perbicaraan untuk diserahkan kepada pasukan pembelaan.

“Sehubungan itu, kami mohon tarikh pengurusan kes lain ditetapkan untuk pihak kami memaklumkan perkembangan mengenai surat tersebut selain menyerahkan dokumen berkenaan dan pernyataan saksi kepada pihak pembelaan,” katanya.

Rozina kemudian berkata sebarang isu dalam kes itu sepatutnya diselesaikan dalam tempoh tiga bulan sejak kes berkenaan bermula dan tarikh perbicaraan sepatutnya boleh ditetapkan hari ini.

“Mahkamah menetapkan pengurusan kes pada 22 Mei untuk pihak-pihak memaklumkan mengenai perkembangan surat tersebut dan penyerahan dokumen serta pernyataan saksi kepada pihak pembelaan,” katanya.

Sementara itu, Amer Hamzah ketika ditemui pemberita berkata dalam surat tersebut pihaknya membangkitkan bahawa pertuduhan terhadap anak guamnya tidak menepati Seksyen 152, 153 dan 154 Kanun Prosedur Jenayah.

Wan Saiful, 47, didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuknya membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek “Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur” daripada Kerajaan Malaysia secara prakelayakan yang jumlah keseluruhannya RM232 juta.

Wan Saiful juga dituduh menerima bagi dirinya suapan wang tunai berjumlah RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Syarikat Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek itu.

Beliau didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini, pada April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini antara 8 Julai 2022 hingga 30 Sept 2022.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here