Peminjam along dipaksa bakar dan simbah cat kereta penghutang lain

0
126

POLIS menahan dua lelaki dan dua wanita bagi membantu siasatan berhubung tiga kes kereta dibakar dan disimbah cat sehingga menyebabkan kerugian lebih RM40,000 dalam kejadian di Pulau Pinang, 30 April lepas.

Dua lelaki itu merupakan penghutang kepada pemberi pinjaman wang (along) dari Singapura yang dipaksa untuk melakukan jenayah terbabit kerana mereka gagal melangsaikan hutang iaitu RM1,000 hingga RM2,000.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata mereka termasuk sepasang kekasih yang kesemuanya berumur 22 hingga 33 tahun itu ditahan di beberapa lokasi di sekitar Ipoh, Perak pada 4 Mei dan 6 Mei hasil risikan serta maklumat berhubung kejadian itu.

“Kami pada mulanya menerima laporan polis daripada seorang wanita berusia 40 tahun yang memaklumkan kereta Perodua Kelisa milik anaknya telah dibakar dan disimbah cat dalam kejadian 4.30 pagi, 30 April lepas di Bukit Tengah, dekat sini.

“Polis kemudiannya turut menerima dua lagi laporan membabitkan kejadian sama iaitu masing-masing di Bukit Minyak, dekat sini dan Air Itam, di sini melibatkan Perodua Alza dan Myvi juga hari yang sama antara 4.30 pagi hingga 7 pagi,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mohd Shuhaily berkata semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek yang terlibat dalam kejadian itu menggunakan kereta Toyota Yaris berwarna merah dan hasil risikan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pulau Pinang berjaya mengesan sepasang kekasih sedang tidur di dalam kereta itu di tepi Jalan Kuala Kangsar, Ipoh pada 12.05 tengah malam, 4 Mei lepas.

Katanya, pemeriksaan di dalam kereta itu polis menemukan pemetik api, pen, kunci rumah dan beberapa keping resit bukti pembelian petrol di stesen minyak serta berdasarkan maklumat daripada mereka, polis kemudiannya menahan seorang lelaki di sebuah rumah di Taman Pakatan Jaya, Ulu Kinta pada 6.10 pagi hari sama.

“Polis seterusnya menahan seorang lagi wanita berusia 33 tahun di sebuah rumah di Kampung Simee, Ipoh pada 1.15 tengah hari, 6 Mei dan siasatan mendapati dua lelaki ialah penghutang along dari negara jiran yang gagal untuk melangsaikan hutang mereka.

“Mereka yang sebelum ini merupakan peniaga dijanjikan pengurangan hutang tertunggak sekiranya melakukan ugutan dengan menyimbah cat dan bakar kereta milik penghutang lain, malah turut diberi upah sebanyak RM700 melalui kaedah tambah nilai Touch N Go E-Wallet,” katanya.

Beliau berkata siasatan juga mendapati, wanita yang membuat laporan pertama bagi kes itu turut berhutang dengan along dari negara jiran menyebabkan kereta anaknya telah dibakar, malah mangsa juga bekerja di sana dan dua lagi mangsa turut berhutang dengan along yang sama iaitu antara RM1,000 hingga RM2,000.

Menurut Mohd Shuhaily, empat suspek yang ditahan itu dipercayai menjalankan kegiatan jenayah itu sejak Mac lepas dan melakukan ugutan dengan membakar serta menyimbah cat pada kenderaan pemilik yang gagal membayar hutang yang tinggal di kawasan utara iaitu Perak, Kedah dan Pulau Pinang.

“Dua lelaki itu mengaku menerima arahan terus daripada seorang ejen along dari Singapura untuk melakukan perbuatan khianat dengan api ke atas rumah dan kereta peminjam, malah kedua-dua suspek itu juga mempunyai tiga dan enam rekod lampau berkaitan jenayah,” katanya.

Beliau berkata teman wanita suspek pertama pula berperanan menyemak alamat penghutang dalam laman sesawang Google Maps sementara seorang lagi wanita bertindak menguruskan hal sewa kereta dan mendapatkan peralatan cat untuk tujuan khianat.

Katanya, lelaki dan pasangan kekasih itu direman selama tujuh hari manakala seorang lagi wanita direman empat hari dengan kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang (APPW) 1951 serta Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here