PRN: Dakwaan BERSATU tanding di 4 kerusi DUN Terengganu tak tepat

0
138

BERSATU menafikan dakwaan kononnya parti itu akan bertanding di empat daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu pada pilihan raya umum (PRN) tidak lama lagi.

Ketua Badan Pimpinan BERSATU negeri, Datuk Razali Idris, berkata dakwaan itu tidak tepat kerana sehingga kini tiada sebarang keputusan dibuat mengenainya, memandangkan rundingan masih berjalan.

“Sumber itu (dakwa BERSATU akan bertanding di empat kerusi) tidak tepat kerana kita masih lagi dalam peringkat akhir rundingan.

“Di Terengganu, kita bersepakat dengan pimpinan PAS negeri dan juga GERAKAN. Justeru, kita serahkan keputusan muktamad (mengenai agihan kerusi untuk PRN) kepada kepemimpinan Perikatan Nasional (PN) Pusat,” katanya ketika dihubungi, lapor BH Online.

Beliau berkata demikian mengulas berita yang tular mendakwa BERSATU akan diberi laluan oleh PAS untuk bertanding di empat kerusi DUN di negeri ini iaitu Langkap, Telemong, Alor Limbat dan Paka.

Mengulas lanjut rundingan agihan kerusi, Razali berkata, pihaknya masih kekal dengan permintaan untuk menyediakan calon di 10 kerusi yang ketika ini disandang UMNO.

Sepuluh kerusi dimenangi BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) adalah Kuala Besut, Jertih, Hulu Besut, Permaisuri, Langkap, Batu Rakit, Seberang Takir, Telemong, Bukit Besi dan Kijal.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here