Wartawan veteran ceritakan kecelaruan landa Putrajaya

0
617

BEKAS wartawan kanan yang meninggalkan Utusan Malaysia selepas mengkritik akbar berkenaan kerana terlalu menyokong UMNO mempersoalkan “peletakan jawatan” seorang pegawai media di Pejabat Perdana Menteri (PMO) baru-baru ini, sambil menambah ia berlaku berikutan rasa tidak puas hati terhadap pentadbiran yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Zaini Hassan, yang merupakan penolong ketua pengarang Kumpulan Utusan sebelum akhbar milik UMNO itu menghentikan penerbitan pada 2019, meragui laporan bekas pengarah komunikasi strategik PMO Wan Nurzila Wan Abd Rahman menghantar notis berhenti kerja 24 jam.

Zaini berkata, Nurzila memberitahunya tentang kekecewaan akibat “banyak sangat fitnah” yang terpaksa dihadapi beliau.

“Saya faham. Banyak sangat kecelaruan dalam team PMX (Anwar),” tulis Zaini di Bebasnews, portal berita yang ditubuhkannya pada 2018.

“Team media yang turut dicelarukan dengan team komunikasi yang diketuai oleh seorang mantan profesor UKM,” tambahnya, dipercayai merujuk kepada Jabatan Komunikasi Masyarakat (J-Kom), unit propaganda di Jabatan Perdana Menteri yang diketuai bekas pensyarah Mohammad Agus Yusoff.

Zaini berkata beliau difahamkan Nurzila berdepan tekanan daripada pasukan cybertroopers Anwar, yang melihat beliau seperti “tidak begitu setia” dengan Pakatan Harapan (PH).

Semalam, The Star memetik sumber dalaman PMO sebagai berkata peletakan jawatan Nurzila dikaitkan dengan pergeseran dengan J-Kom berhubung kempen mempromosikan “Malaysia Madani”, frasa yang digunakan oleh Anwar untuk menjenamakan kerajaan campurannya. 

Zaini berkata beliau mendengar banyak rungutan daripada ramai individu di kedudukan “tertinggi” negara, memetik seorang “tokoh” yang memberitahunya bahawa Anwar “tidak boleh buat kerja, cakap sahaja pandai”.

“Tokoh yang saya temui itu berkata lagi ‘riwayat beliau sebagai PMX tak lama’,” tulis Zaini, menggunakan nama panggilan popular untuk Anwar sebagai perdana menteri ke-10.

“Kita tunggu, katanya,” dipetik Zaini sambil menambah: “Benarkah pihak keselamatan pun ‘pening’ dengan beliau?”.

Zaini berkata pasukan komunikasi Anwar dipaksa untuk menentang ejekan dalam talian yang dibuat terhadap ucapan lalunya, yang termasuk janji popular untuk menurunkan harga bahan api sehari selepas menjadi perdana menteri.

“Kata-kata itu menjadi gelak-ketawa lawak umum, sehinggakan direka emoji mukanya dengan kata-kata ‘esok minyak turun’,” tambah Zaini.

Zaini berkata sekiranya kerajaan Anwar tumbang, pasukan medianya tidak perlu bimbang kerana perdana menteri sering silih berganti.

“Itulah akibatnya jika parti-parti politik kita mendapat undi ‘cukup-cukup makan saja’”.

Semalam, Anwar menafikan khabar angin bahawa kerajaannya, yang dibentuk dengan sokongan daripada Barisan Nasional (BN) dan GPS berikutan Parlimen tergantung pada pilihan raya November, telah hilang majoriti.

“Insya-Allah, kita Kerajaan Perpaduan kekal penuh sehingga PRU akan datang.

“Saya sangat yakin atau saya tidak akan mengeluarkan kata-kata ini,” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai spekulasi itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here