PRN: Pas-PN dijangka menang besar di Terengganu, BN-PH harap masih ada peluang

0
174

OLEH Lazim Endut

PAS bersama gandingan Bersatu dan Gerakan dalam Perikatan Nasional (PN) dijangka menang besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Terengganu yang bakal diadakan pada Jun atau Julai ini.

Manakala Barisan Nasional (BN) bersama ‘pasangan’ baharunya, Pakatan Harapan (PH) pula mengharapkan masih ada peluang untuk menawan negeri itu daripada Pas.

Dalam beberapa siri pilihan raya lalu, hanya Pas dan UMNO sahaja menjadi pilihan para pengundi di Terengganu, manakala kehadiran parti lain hanyalah dilihat sebagai ‘pelengkap’ atau untuk mencuba nasib sahaja.

Memandangkan BN kini masih dalam keadaan terumbang ambing selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) diikuti gagal mempertahankan kesemua lapan kerusi Parlimen dalam PRU-15 pada 19 November tahun lalu, maka parti berkenaan terus berusaha untuk mecari kekuatan baharu.

Namun, impian tersebut dikatakan agak sukar apabila pasangan baharu yang dipilih adalah Pakatan Harapan (PH) yang turut dianggota DAP dan parti Amanah Negara (Amanah), yang selama ini ditolak ‘mentah-mentah’ oleh orang Melayu Terengganu.

Sebelum ini, para pengundi di negeri ini khususnya ahli dan penyokong Pas sudah mengenali siapakah sebenarnya DAP dan Amanah. Ini kerana kedua-dua parti tersebut sebelum ini pernah berada di bawah satu bumbung dalam Pakatan Rakyat (PR) yang turut disertai Pas.

Maka itu, sudah tentulah, sikap, hala tuju, matlamat ‘hati budi’ serta kerenah para pemimpin parti berkenaan telah dinilai ‘semasak’nya oleh pemimpin dan ahli-ahli Pas.

Berdasarkan itulah, ramai penganalisis dan pemerhati politik di Terengganu berpendapat BN-PH dilihat semakin sukar untuk merampas semula negeri itu daripada Pas dalam PRN kali ini.

Ini kerana, selain isu masalah dalaman melibatkan kepimpinan UMNO, pertengkaran serta perbalahan terbuka antara pemimpin UMNO dan DAP serta UMNO dan Amanah berhubung isu pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak secara tidak langsung telah ‘memualkan’ rakyat.

Susulan itu, isu tersebut turut ‘merencatkan’ kesetiaan ahli dan penyokong UMNO sendiri khususnya mereka yang menjadi penyokong tegar ‘Bossku’. Malah banyak pihak percaya pada hari pembuangan undi nanti ramai orang UMNO akan bertindak tidak keluar mengundi dan sebahagian pula dijangka memilih Calon PN.

Hal ini kerana ada yang mengatakan terdapat orang UMNO seperti sudah mencipta slogan baharu ‘selagi ada Ahmad Zahid Hamidi dan selagi ada DAP’ mereka akan menolak BN-PH. Dalam PRN nanti, PH dikatakan ingin meletakkan calon bertanding di 12 kerusi Dewan Undangan (DUN) Terengganu.

Melihat kepada situasi semasa, sekiranya silap percaturan kesemua 12 kerusi diwakili PH akan tewas kepada PN. Malah, ia juga tidak mustahil PN akan memenangi kesemua 32 kerusi DUN Terengganu sepertimana pernah dinyatakan oleh Setiausaha Pas Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah sebelum ini.

Wan Sukairi yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam menaruh keyakinan
Pas bersama PN mampu meraih kemenangan besar dengan memenangi kesemua 32 kerusi DUN Terengganu pada kali ini.

Keyakinan itu dibuat berdasarkan keputusan luar biasa dicapai PN dalam PRU15 lalu. Atau apakah pada PRN kali ini yang tinggal kepada BN hanya dua batu nisan sahaja iaitu melibatkan kerusi Seberang Takir dan Kijal?

Pada PRU14 lalu, Pas berjaya memerintah Terengganu apabila menang 22 daripada 32 kerusi yang dipertandingkan.

Kerusi tersebut ialah DUN Bandar, Ladang, Batu Burok, wakaf Mempelam, Rhu Rendang, Alor Limbat, Bukit Payong, Pengkalan Berangan, Rantau Abang, Sura, Paka, Bukit Tunggal, Manir, Tepoh, Buloh Gading, Kota Putera, Jabi, Chukai, Kuala Berang, Air Putih, Ajil dan Kemasik.

Manakala BN pula hanya menang di 10 kerusi iaitu Seberang Takir, Kijal, Telemong, Hulu Besut, Bukit Besi, Jertih, Langkap, Batu Rakit, Kuala Besut dan Permaisuri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here