Bapa, ibu tiri mengaku salah dera anak lelaki empat tahun

0
111

PASANGAN Suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini atas tuduhan menganiaya seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun, minggu lalu.

Tertuduh, S Nagendran dan A Sangeetha yang kedua-duanya berusia 23 tahun mengaku bersalah bagi pertuduhan itu selepas dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Bagaimanapun, Nagendran yang juga bapa tiri kanak-kanak berkenaan manakala Sangeetha ibu kepada kanak-kanak itu, memohon diberi masa untuk melantik peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa mencapai niat bersama menganiayai kanak-kanak yang berada di bawah pemeliharaan mereka dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Memetik laporan BH Online, perbuatan itu didakwa dilakukan di rumah mereka dekat Skudai Villa Apartment, Jalan Aman, Taman Skudai Baru, kira-kira 12.30 tengah malam, 28 April lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Idayu Salim tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kesalahan di bawah seksyen berkenaan tidak boleh dijamin, namun mencadangkan jumlah RM20,000 setiap tertuduh jika mahkamah ingin menggunakan budi bicara untuk membenarkan ikat jamin.

Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun, memohon mahkamah membenarkan mereka diikat jamin dengan alasan mereka mempunyai seorang lagi anak yang masih kecil iaitu bayi berusia enam bulan dan masih menyusu badan.

Tertuduh wanita juga memberitahu mahkamah bahawa dia kini hamil dua bulan.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh, masing-masing diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan perlu melapor diri sebulan sekali di Balai Polis Mutiara Rini serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 7 Jun depan bagi fakta dan hukuman serta lantikan peguam.

Sabtu lalu, media melaporkan suami isteri itu ditahan polis selepas disyaki mendera kanak-kanak lelaki itu sehingga meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin dilaporkan berkata, mangsa dibawa ke Zon Kecemasan, Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, kira-kira jam 8.20 pagi, Jumaat lalu, sebelum didapati meninggal dunia sebaik tiba.

Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian kepala, belakang telinga, perut serta kaki dan siasatan awal mendapati mereka menggunakan tangan dan penyangkut baju.

Bapa tiri kanak-kanak itu yang bekerja sebagai pengawal keselamatan mempunyai satu rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here