Projek mega P Pinang Selatan ‘akan jejas Umno-PH’

0
131

UMNO dan Pakatan Harapan (PH) akan terjejas teruk pada PRN akan datang berikutan kelulusan bersyarat kepada projek penambakan mega Pulau Pinang Selatan (PSI), kata sumber dalaman Umno.

Menurutnya, beliau tidak dapat melihat kesan positif projek itu kepada penduduk Pulau Pinang dan Umno sendiri.

Sumber yang enggan dinamakan itu berkata, Perikatan Nasional (PN) akan cuba mempolitikkan projek penambakan itu dengan isu perkauman untuk menarik sokongan pengundi Melayu pada PRN.

Katanya, PN akan cuba mencemarkan imej Umno dan PH dengan mendakwa pemimpin Melayu mereka gagal mempertahankan komuniti nelayan, “walaupun hakikatnya komuniti nelayan bukan hanya terdiri daripada orang Melayu”.

Sumber itu berkata, pengumuman kerajaan negeri mengenai kelulusan projek itu tidak kena pada masanya kerana dibuat sebelum PRN dan ia akan memberi kesan buruk kepada Umno disebabkan isu terbabit berpotensi dimanipulasi PN.

“Sebenarnya, ketua menteri sepatutnya memilih masa sesuai untuk mengumumkan kelulusan itu. Walaupun ia tidak akan memberi kesan kepada 25 kerusi majoriti bukan Melayu, 15 kerusi majoriti Melayu akan terjejas.

“Kehilangan kerusi itu kepada PN akan menyebabkan kerajaan negeri pimpinan DAP kehilangan majoriti dua pertiga di DUN,” katanya, lapor FMT.

Justeru, beliau menggesa pemimpin kerajaan persekutuan dan negeri menjelaskan secara terperinci bagaimana projek itu akan memanfaatkan rakyat Pulau Pinang dari segi ekonomi, memandangkan kesan buruk terhadap perikanan dan sektor lain sudah dimaklumkan.

“Kita boleh menjangkakan penolakan daripada pengundi Melayu apabila isu ini dimainkan dan tidak dijelaskan dengan sewajarnya oleh kerajaan pusat dan negeri.”

Projek itu membabitkan penambakan tiga pulau seluas 1,620ha di luar pantai selatan, antara Permatang Damar Laut dan Gertak Sanggul. Penjualan hartanah dan tanah penambakan itu akan membantu membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang, di mana lebuh raya baharu dan sistem transit akan dibina.

Minggu lalu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow membayangkan PSI tidak mungkin menjejaskan PH pada PRN akan datang kerana projek mega itu, yang mula dicadangkan pada 2013, tidak menjejaskan PH dalam dua PRU lalu.

Kelulusan bersyarat oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi PSI diberikan di tengah-tengah bantahan daripada komuniti nelayan dan kumpulan pencinta alam sekitar yang mendakwa projek itu akan merosakkan ekosistem marin di pantai selatan.

Kami tak politikkan isu PSI, kata PN

Pengerusi PN Pulau Pinang, Dominic Lau berkata, gabungan itu tidak mempolitikkan atau mengambil kesempatan daripada kelulusan PSI.

Beliau berkata, PN sekadar menjalankan tugasnya sebagai pembangkang dengan mengetengahkan kebimbangan nelayan dan NGO yang menghubungi gabungan itu mengenai projek terbabit.

Katanya, dakwaan mempolitikkan isu itu hanya akan timbul jika orang ramai tidak mempunyai masalah dengan PSI.

“Tetapi, rakyat menunjukkan rasa tidak puas hati mereka melalui demonstrasi dan rayuan oleh nelayan dan NGO alam sekitar. Ini adalah fakta,” kata Lau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here