Wanita cuba seludup 22 ekor ular dari KLIA ke Chennai

0
133

PIHAK berkuasa lapangan terbang India menemukan 22 ekor ular dalam bagasi seorang wanita yang tiba dari Kuala Lumpur, di lapangan terbang Chennai.

Menurut Jabatan Kastam Chennai pada Sabtu, penumpang wanita itu ditahan sebaik tiba dengan penerbangan AirAsia pada Jumaat.

Pihak berkuasa menemukan pelbagai spesies ular dan seekor sumpah-sumpah ketika melakukan pemeriksaan ke atas beg wanita itu.

Reptilia itu kemudian dirampas mengikut undang-undang kastam dan perlindungan hidupan liar.

Menurut laporan media tempatan, reptilia itu dibungkus dalam bekas plastik lut sinar.

Reptilia itu antara spesies yang mendapat permintaan tinggi dalam perdagangan hidupan liar haram di India dan rampasan seperti itu bukanlah perkara luar biasa.

Pada Januari tahun ini, 45 ekor ular sawa dan lapan ekor ular jagung serta masing-masing tiga ekor marmoset (monyet) dan kura-kura dirampas di Chennai daripada seorang penumpang yang tiba dari Thailand.

Menurut laporan tahunan Direktorat Perisikan Hasil India, sebanyak 1,204 reptilia spesies eksotik seperti ular sawa, iguana, cicak besar, ular jagung dan kura-kura Afrika turut dirampas di lapangan terbang Chennai pada Oktober 2022. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here