PRN Selangor: PN sasar menang 33 kerusi untuk bentuk kerajaan

0
245

PERIKATAN Nasional (PN) menyasarkan memenangi 33 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan selewat-lewatnya pada tahun ini.

Menurut Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir, keyakinan itu berdasarkan kepada sokongan pengundi terutama kaum Melayu kepada PN semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Beliau berkata, sekiranya sasaran itu dicapai, gabungan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mampu membentuk kerajaan baharu di negeri berkenaan.

“Tidak mustahil kita mampu memberi tentangan dan saingan sengit kepada PH kerana sasaran kita menang di 33 kerusi DUN yang mempunyai 60 peratus pengundi Melayu,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Roslan Shahir berkata, semasa PRU15 lalu, PN berjaya memenangi enam kerusi Parlimen termasuk di kubu kuat Barisan Nasional (BN) di Sabak Bernam dan Tanjong Karang.

Malah katanya, sokongan pengundi Melayu di Selangor juga berpihak kepada PN sekali gus menjadi kekuatan gabungan politik itu sehingga UMNO sendiri tiada kerusi Parlimen di Selangor pada PRU15.

“Saya mengambil contoh, Pesuruhjaya Pas, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi menang di kerusi Parlimen Kuala Langat yang pengundi Melayu di situ sekitar 58.32 peratus sahaja,” katanya.

Sehubungan itu, kata beliau, jika kecemerlangan dan sokongan itu diterjemah dalam PRN Selangor, beliau yakin kerajaan negeri di bawah pentadbiran PH mampu ditewaskan di negeri ini.

“Kita tengok sentimen di bawah sehingga hari ini masih konsisten dan sokongan pengundi Melayu tidak akan berubah,” tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here