Tiada kepastian KJ, Shahidan bertanding PRN Selangor

0
172

PAS Selangor tidak pasti berhubung cakap-cakap bahawa bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor tidak lama lagi.

Menurut Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar, Pas Selangor tiada maklumat dan tidak dimaklumkan berkenaan perkara itu.

Pas bagaimanapun katanya terbuka menerima pemimpin berwibawa dan kompeten untuk bertanding sebagai calon Perikatan Nasional (PN) dalam misi menawan Selangor.

“Pas sendiri telah menyediakan calon-calon berkelayakan untuk mendepani gabungan Pakatan Harapan (PH) dan BN.

“Pas Selangor tidak tahu KJ (Khairy Jamaluddin) dan DSSK (Shahidan) akan bertanding di Selangor namun terbuka dan mengalu-alukan bantuan mana-mana pihak yang boleh bawa kemenangan buat PN di Selangor, ” katanya, lapor Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kesahihan mengaitkan dua nama besar itu akan bertanding atas tiket PN di Selangor.

Sebelum ini Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau menyatakan kesediaan untuk bertanding di Selangor dalam misi membantu PN menawan negeri itu.

PN menyasarkan untuk menawan tiga negeri termasuk Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Shahidan dikatakan antara calon yang akan diketengahkan dalam PRN Selangor dan bakal bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Sementara itu, KJ dikatakan bakal bertanding di salah satu kerusi DUN di bawah kawasan parlimen Sungai Buloh, sekiranya beliau menerima tawaran Bersatu untuk menyertai parti tersebut sebelum PRN.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here