Ingat! Pandu secara berhemah, utamakan nyawa keluarga

0
156

Oleh MOHD LAZIM ENDUT

SETIAP kali menjelang ketibaan Hari Raya Aidilfitri, boleh dikatakan semua jalan raya di negara ini sama ada di lebuh raya atau pun jalan Persekutuan atau jalan negeri, tiba-tiba akan bertukar menjadi sesak dipenuhi pelbagai jenis kenderaan.

Keadaan ini dilaporkan berlaku pada setiap tahun, biasanya bermula dua hari menjelang umat Islam menyambut hari kebesaran tersebut.

Hal ini berlaku kerana sebahagian besar para perantau yang berada di ibu kota serta bandar-bandar utama di negara ini mula bergerak pulang ke kampung halaman masing-masing.

Malah, tradisi balik kampung untuk berhari raya bersama keluarga seakan sudah menjadi satu kemestian bagi anak rantau khususnya yang berasal daripada Terengganu dan Kelantan.

Walaupun berhadapan dengan pelbagai kesulitan dan halangan, mereka tetap terpanggil untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

Berdasarkan laporan pihak berkuasa, dianggarkan lebih tiga juta kenderaan dijangka berada di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak serta Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) dan Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) sempena musim perayaan kali ini.

Justeru, dalam keghairahan orang ramai pulang bersama keluarga dengan memandu kenderaan penulis ingin mengingatkan agar sentiasa berwaspada ketika berada di jalan raya.

Ingatlah! Pandu secara berhemah dan sentiasa mengikut peraturan ditetapkan.

Utamakan nyawa diri dan keluarga anda.

Pesanan ini kerana walaupun pelbagai cara dan pendekatan telah diambil oleh pihak berkuasa bagi mengatasi masalah kemalangan di jalan raya, namun jumlah kematian yang dilaporkan akibat perkara tersebut masih lagi tinggi.

Kenderaan kereta Perodua Alza yang terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di KM 28 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Kampung Pulau Kerengga. – Foto PDRM

Malah, boleh dikatakan setiap saban hari berlakunya kemalangan sama ada melibatkan pejalan kaki, penunggang motosikal, kenderaan persendirian hinggalah kepada pengangkutan awam lain.

Apa yang dikesalkan apabila kemalangan terus berlaku ketika kerajaan melalui pelbagai agensi penguatkuasaannya telah menghabiskan wang jutaan ringgit bagi menangani masalah tersebut.

Aktiviti seminar, kempen, pameran dan operasi bersepadu dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) seolah-olah tidak memberi sebarang kesan kepada pengguna jalan raya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here