PRN: 5 calon PH di Terengganu diramalkan ‘balik awal’, hilang deposit?

0
204

Oleh MOHD LAZIM ENDUT

LIMA calon mewakili Pakatan Harapan (PH), masing-masing tiga daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan dua daripada Parti Amanah Negara (Amanah) yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini diramalkan ‘balik awal’ serta hilang deposit.

Hal ini kerana kedua-dua parti berkenaan bukan sahaja tidak mempunyai pengundi dan jentera yang ramai di negeri ini.

Sebaliknya, calon-calon mereka terpaksa bertanding di kerusi yang selama ini dianggap sebagai antara kubu kuat Pas di Terengganu.

Ramai penganalisis dan pemerhati politik di Terengganu menyifatkan tindakan PKR dan Amanah bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Sura, Wakaf Mempelam, Batu Burok dan Manir seolah-olah ingin ‘menggantung diri’ sendiri.

Hal ini kerana UMNO yang merupakan parti pesaing hebat Pas di negeri ini pernah kecundang di kelima-lima kerusi tersebut.

Apatah lagi, ia ditambah pula dengan isu-isu ‘panas’ semasa melingkari UMNO dan PH termasuk soal agihan kerusi serta sentimen No Anwar, No DAP yang masih menebal dalam kalangan ahli akar umbi dan para penyokong UMNO sendiri.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini diramalkan ‘balik awal’ serta hilang deposit.

Malah, penganalisis serta pemerhati politik turut berpendapat, keadaan itu dijangka turut berlaku kepada calon PKR yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Nama-Nama calon PKR yang bertanding di PRN Terengganu diumumkan serentak melibatkan enam negeri oleh Presiden PKR yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Shah Alam, Selangor pada 22 Julai lalu.

Calon yang disenaraikan bertanding ialah Wan Mohd. Haikal Wan Ghazali di kerusi DUN Wakaf Mempelam, Mohd. Jusoh (Manir) dan Osman Omar (Sura).

Turut diumumkan ialah nama bekas Ahli Parlimen Indera Mahkota, Pahang, Azan Ismail yang akan bertanding mewakili parti itu di PRK kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada tarikh sama.

Azan Ismail

Sementara calon Amanah pula diumumkan oleh Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu pada 23 Julai lalu.

Dua calon yang disenaraikan ialah Ketua Amanah Marang, Suhaimi Sulaiman yang bertanding di kerusi DUN Rhu Rendang dan Mohamad Zamir Ghazali (Batu Burok).

Memandangkan sebahagian besar pengundi Terengganu termasuk orang UMNO dikatakan tidak mengenali kelima-lima calon PH ini, maka ramai berpendapat calon ditampilkan seolah-olah sebagai pelengkap penyertaan, seperti juga calon Bebas.

Pada PRU14 lalu lima calon PKR yang bertanding telah hilang deposit

Selain itu, kebanyakan calon terbabit juga dikatakan masih terlalu baharu dan agak mentah dalam bidang politik tanah air.

Dalam PRU14 lalu, mendapati lima calon PKR yang bertanding di kerusi berkenaan terpaksa menerima hakikat telah hilang deposit.

Di kerusi Rhu Rendang, calonnya Zarawi Sulong hanya memperoleh 729 undi tewas kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar (Pas) yang menang dengan majoriti 6,028 undi.

Samsuri yang ketika itu membuat penampilan pertamanya memperoleh 13,851 undi. Turut bertanding ialah Datuk Nik Dir Nik Wan Ku (BN) yang mendapat 7,823 undi.

Bagi kerusi Batu Burok pula, calon PKR, Datuk Raja Bahrin Shah Raja Ahmad juga hilang deposit setelah hanya mendapat 2,572 undi tewas kepada calon Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi yang menang dengan majoriti 5,288 undi.

Turut bertanding ialah Zamri Awang Hitam (BN) yang mendapat 9,896 undi.

Di kerusi DUN Manir, calon PKR, Hafizuddin Hussain hilang deposit apabila hanya meraih 422 undi tewas kepada calon Pas, ustaz Hilmi Harun yang menang dengan majoriti 2,844 undi.

PN Terengganu
PN dijangka menang bergaya di PRN Terengganu. – Gambar: Facebook Menteri Besar Terengganu

Turut bertanding ialah Yusof Awang Hitam (BN) yang mendapat 5,872 undi.

Satu lagi kerusi kebal Pas, iaitu DUN Wakaf Mempelam turut menyaksikan calon PKR, Mohd Zubir Mohamed yang mendapat 1,589 undi hilang deposit setelah tewas kepada calon Pas, ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah yang menang dengan majoriti 7,378 undi.

Turut bertanding ialah Salleh Othman (BN) yang mendapat 7,418 undi.

Seorang lagi calon PKR, Zulkifli Ali yang bertanding di DUN Sura dan mendapat 2,386 undi juga hilang deposit apabila tewas kepada calon Pas, Wan Hapandi wan Nik yang menang dengan majoriti 7,162 undi.

Turut bertanding ialah Datuk Zainun Abu Bakar (BN) yang mendapat 5,338 undi.

Maka itu, melihat kepada fenomena ini di samping graf sambutan terkini pengundi di Terengganu terhadap Perikatan Nasional (PN), tidak mustahil kesemua calon PH yang ditampilkan kali ini juga bakal ‘balik awal dan hilang deposit’. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here