Fahamilah erti sebuah kemerdekaan negara!

0
412

Oleh MOHD LAZIM ENDUT

KHAMIS ini, iaitu empat hari lagi rakyat Malaysia tidak kira daripada bangsa Melayu, Cina, India dan masyarakat Orang Asli termasuk Kadazan akan menyambut ulangtahun Hari Kemerdekaan negara yang ke-66.

Mereka seakan tidak sabar menunggu detik bersejarah malam kemerdekaan untuk sama-sama melaungkan perkataan ‘Merdeka’ di beberapa lokasi ditetapkan.

Salah satu lokasi yang menjadi tumpuan ramai di Terengganu ialah di Pantai Batu Burok manakala pada sebelah siang pula ialah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Persoalannya, sejauh manakah sambutan Hari Kemerdekaan di negara ini khususnya di Terengganu dapat meninggalkan kesan mendalam kepada orang ramai terutama generasi muda?

Adakah sambutan ini hanya sebagai satu budaya ikutan atau ‘terpaksa’ semata-mata?

Sebenarnya penulis tidak terniat langsung mempersoalkan perkara ini, cuma kadang-kadang sedikit terkilan kerana mendapati tahap kesedaran segelintir masyarakat kita tentang erti sebuah kemerdekaan masih terlalu lemah, tidak berubah.

Hal ini kerana penulis perhatikan sejak tahun-tahun kebelakangan ini tidak banyak premis perniagaan, bangunan persendirian serta rumah-rumah kediaman yang menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan dengan menghiasi Jalur Gemilang.

Apa yang dikesalkan jabatan-jabatan kerajaan juga kini kelihatan semakin berkurangan mengibarkan Jalur Gemilang berbanding dahulu.

Malah, tidak keterlaluan kalau dikatakan kibaran dan hiasan bendera parti-parti politik lebih meriah kelihatan sehingga ke pelusuk ceruk kampung dan juga semua laluan di jalan- jalan raya berbanding Jalur Gemilang.

Adakah perkembangan ini berlaku disebabkan agihan bendera subsidi telah ditiadakan selain harganya semakin mahal?

Maka itu, penulis ingin mengajak semua warga Malaysia agar dapat mengubah minda dan juga persepsi pemikiran mengenai erti sebuah kemerdekaan sebenar.

Setiap masyarakat tidak kira mewakili bangsa mana seharusnya memiliki semangat jati diri, patriotisme dan nasionalisme yang tebal seperti diamalkan oleh kebanyakan rakyat luar negara khususnya Indonesia.

Beberapa tahun lalu penulis pernah berada di Sumatera Barat ketika republik negara itu sedang berada dalam suasana menyambut Hari Kemerdekaan.

Yang menarik perhatian penulis ialah walaupun kebanyakan penduduk di wilayah berkenaan rata-ratanya dalam kategori miskin, namun setiap rumah termasuk yang tinggal ditengah-tengah sawah bendang dan di kaki gunung tidak terkecuali untuk sama-sama mengibarkan bendera yang menjadi kebanggaan mereka.

Sementara di sepanjang jalan pula kita akan dapat melihat suasana memasang bendera seolah-olah mereka sedang berpesta atau mengadakan kempen pilihan raya.

Begitulah semangat patriotisme ditunjukkan oleh rakyat negara jiran dan apalah salahnya jika rakyat di negera ini juga turut melakukan perkara sama ketika menyambut perayaan Hari Kemerdekaan di negara ini.

Begitu juga dengan anak-anak muda kita, setiap kali sambutan malam kemerdekaan penulis perhatikan sambutan mereka seolah-olah tersasar jauh.

Ada segelintir daripadanya menjadikan malam tersebut sebagai malam perlumbaan haram dan pergaulan bebas antara lelaki dan wanita.

Adakah mereka menganggap Merdeka itu adalah bebas untuk segala-galanya?

Ini kerana, sebaik melaungkan perkataan ‘Merdeka’ ratusan golongan Mat rempit akan berpusing-pusing memecut motosikal masing-masing mengelilingi bandar raya ini tanpa sebarang arah dan tujuan.

Selain itu ada juga perkhabaran amat memalukan apabila tersiarnya di akhbar-akhbar tempatan pada keesokan harinya melaporkan beberapa pasangan remaja telah ditangkap berkhalwat di hotel-hotel bajet sempena malam kemerdekaan.

Kalau diperhatikan gelagat seperti ini kesimpulannya ialah kesedaran generasi muda kita terhadap nilai sebuah kemerdekaan sebenarnya masih terlalu rendah.

Justeru, mereka perlu diberikan pendidikan dan bimbingan sewajarnya ketika diperingkat sekolah rendah lagi.

Perkataan Merdeka bukan hanya setakat dilaungkan, sebaliknya sejarah kemerdekaan itu sendiri perlu direnungi, dihayati dan diinsafi.

Kita kena faham bagaimana betapa perit dan seksanya orang dahulu berjuang untuk menuntut kemerdekaan negara ini daripada penjajahan Jepun dan Inggeris di Tanah Melayu. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here