UMNO Terengganu ‘tidak mesra’ calon Wanita, Pemuda?

0
129

Oleh MOHD LAZIM ENDUT

SEBAIK sahaja pengumuman calon UMNO-Barisan Nasional (BN) diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur (WTCKL) pada malam Jumaat lalu, rata-rata ahli parti berkenaan di Terengganu mula merungut dengan pemilihan dibuat.

Maka itu bermulalah ‘perang saraf’ sesama sendiri di mana masing-masingnya ada yang meluahkan perasaan dan persepsi negatif terhadap pucuk pimpinan parti.

Ada yang mengatakan UMNO seakan ‘tidak mesra’ calon Wanita dan Pemuda, UMNO lebih pentingkan calon kitar semula, UMNO masih utamakan calon kalah PRU 15 dan pelbagai lagi dakwaan serta persepsi dibuat.

Begitulah antara luahan demi luahan beberapa pihak terbabit menerusi media sosial khususnya Facebook (FB) dipercayai dilakukan wakil calon tersisih dan tidak terpilih dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 ogos ini.

Apa yang melucukan, ada luahan tersebut bukan sahaja dikongsi dalam grup FB UMNO Terenggganu, tetapi juga melibatkan grup Friends Of MB Terengganu (Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar).

Apabila membaca serta memerhatikan catatan serta luahan berkenaan, penulis seakan ingin tergelak pun ada.

Bak kata rakan-rakan penulis “biasalah kan… orang UMNO ni sejak dari dahulu lagi tidak pernah berubah.

“Bukan macam orang Pas, mereka bukan sahaja tidak pernah mempersoalkan siapa calon, sebaliknya sanggup pula mengeluarkan duit poket sendiri bagi membantu parti”.

Penulis percaya kemarahan segelintir ahli dan penyokong UMNO khususnya golongan muda ada kaitan dengan kurangnya jumlah calon mewakili golongan berkenaan dipilih bertanding pada PRN di Terengganu kali ini.

Difahamkan hanya terdapat tiga wakil Pemuda sahaja terpilih manakala Ketua Pemuda negeri Tengku Harphiz Tengku Putera pula tersisih.

Tengku Harphiz Tengku Putera

Tengku Harphiz mulanya disebut-sebut bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang.

Namun, apa yang berlaku adalah disebaliknya apabila UMNO mencalonkan Jalaludin Ismail di kerusi berkenaan.

Sebelum ini Tengku Harphiz yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pemuda UMNO pusat pernah memberitahu bahawa BN negeri dijangka menyenaraikan sekurang-kurangnya lapan calon dari kalangan Pemuda UMNO untuk bertanding dalam PRN nanti.

Selain beliau, antara yang disebut-sebut ialah bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Armi Irzan Mohd, Ketua Pemuda Setiu, Ahmad Abaidillah Arifin, Mohd. Hafiz Aziz (Kuala Nerus), Mohd. Hariz Zainal (Marang), Mohd. Hafizuddin Hasromi (Dungun) dan Zulkefli Abu Bakar (Kemaman).

Bagaimanapun selepas pengumuman itu, hanya nama Armi Irzan dan Mohd. Rozaini Rasli sahaja bernasib baik kerana terpilih.

Armi Irzan dicalonkan bertanding di DUN Bandar, iaitu kerusi popular MCA yang mengumumkan tidak bertanding.

Rozaini yang juga Ketua Pemuda UMNO Besut pula dicalonkan di DUN Jertih.

Difahamkan, Tengku Haphiz sebelum ini telah menghantar senarai calon kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk dipertimbangkan di samping tidak menafikan ada seorang calon daripada kalangan Pemuda bertanding di setiap DUN.

Selain Pemuda, nasib dua lagi sayap parti di Terengganu iaitu Wanita dan Puteri terus dirundung malang apabila tiada seorang pun calon yang dipilih bertanding kali ini.

Dalam PRU14 tahun 2018 lalu, Ketua Wanita UMNO Terengganu, Toh Puan Zaiton Mat Amin diangkat sebagai calon bertanding di kerusi Bukit Payong, tetapi tewas kepada calon Pas, Mohd. Nor Hamzah.

Sepertimana jangkaan ramai sebelum ini, UMNO dijangka mencalonkan sebilangan besar calon kitar semula yang tewas bertanding di kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) 19 November lalu menjadi kenyataan.

Malah, sebaik sahaja nama-nama calon diumumkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki sempena Majlis Pengumuman Calon BN PRN ke 15 malam Jumaat lalu, ramai pemerhati politik termasuk ahli serta penyokong UMNO di Terengganu telah menjangkakan perkara itu.

Antara nama yang kekal ialah bekas dua Menteri Besar Terengganu iaitu Datuk Seri Ahmad Said yang dicalonkan bertanding di DUN Kijal dan Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman di DUN Seberang Takir.

Pada PRU14 lalu, Ahmad yang juga Pengerusi UMNO negeri menang dengan majoriti 1,265 undi, manakala Ahmad Razif selalu Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus menang dengan majoriti 1,884 undi.

Ahmad Said dan Ahmad Razif Abdul Rahman

Turut dicalonkan ialah Setiausaha UMNO Terengganu, Datuk Rozi Mamat yang akan bertanding di DUN Telemung, Datuk Nawi Mohamad di kerusi Hulu Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman (Kuala Besut), Datuk Mohammad Pehimi Yusof (Kota Putera), Rosdi Zakaria (Jabi), Hamdan Hamzah (Permaisuri), Datuk Sabri Mohd Noor (Langkap), Bazlan Abdul Rahman (Batu Rakit), Muhammad Hanafi Hasan (Tepuh), Omar Adam (Buluh Gading) dan Wan Noorislam Wan Hashim (Bukit Tunggal).

Lain-lain calon ialah Datuk Mohd. Sabri Alwi (Ladang), Yuseri Isa (Alur Limbat), Mohd. Khim@Mohd. Khan Abd .Rahman (Bukit Payong), Datuk Nik Dir Nik Wan Ku (Pengkalan Berangan), Datuk Seri Jailani Johari (Ajil), Datuk Din Adam (Bukit Besi), Mohd. Asri Mohamad (Rantau Abang), Ahmad Abdullah Abd. Wahab (Paka), Mohd. Khairi Afiq Mohd. Yusof (Kemasik), Datuk Sri Mohamed Rahim Hussin (Chukai) dan Dr. Mohd. Zaki Salleh (Air Putih).

Pada majlis berkenaan BN mengumumkan 27 calon yang akan bertanding di Terengganu, manakala lima lagi kerusi menjadi milik Pakatan Harapan (PH) diwakili PKR dan Amanah melibatkan kerusi DUN Batu Burok, Ru Rendang, Manir, Sura dan Wakaf Mempelam. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here