APMM Terengganu rampas rokok putih bernilai RM1.2 juta

0
120

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu berjaya menggagalkan cubaan menyeludup dua juta batang rokok putih bernilai RM1.2 juta di muara Sungai Setiu di Setiu, semalam.

Pengarah Maritim Terengganu Kepten Maritim Khairulanuar Abdul Majid berkata aktiviti penyeludupan itu dikesan kira-kira 5.30 pagi berdasarkan maklumat risikan selama beberapa hari.

Beliau berkata sebuah bot APMM telah dikerah bagi melaksanakan Operasi Khas Seludup Rokok Putih (Op Serop) di lokasi yang dikenal pasti iaitu di perairan Besut dan maklumat itu kemudiannya disalurkan ke pasukan APMM di darat untuk penahanan.

“Hasil rondaan telah mengesan sebuah bot pancung enjin sangkut bergerak dalam keadaan mencurigakan.

“Menyedari kehadiran bot APMM, suspek yang berada di dalam bot berkenaan melarikan diri dengan memasuki kawasan cetek untuk meloloskan diri,” katanya pada sidang media di Jeti APMM Terengganu di sini hari ini.  

Mohd Khairulanuar berkata suspek berjaya melarikan diri dengan terjun ke dalam air dan gagal dikesan memandangkan keadaan persekitaran yang sangat gelap.

Beliau berkata bagaimanapun pasukan APMM darat berjaya mengesan sebuah lori lima tan dalam keadaan mencurigakan di kawasan sekitar muara Sungai Setiu.

“Pemeriksaan menemukan 200 kotak besar rokok putih seludup yang dibalut dengan plastik hitam dalam lori berkenaan. Kita masih menyiasat sumber rokok terbabit yang dipercayai untuk edaran dalam Terengganu,” katanya.

Khairulanuar berkata APMM Terengganu akan meningkatkan kawalan di sekitar perairan negara untuk membendung aktiviti pencerobohan dan penyeludupan yang semakin berleluasa.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here