299 dana daripada 18 institusi pengurusan dana Skim Pelaburan Ahli KWSP 2023/2024 diluluskan

0
120

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan senarai kelayakan yang disemak semula bagi 299 dana daripada 18 institusi pengurusan dana (IPD) yang diluluskan di bawah Skim Pelaburan Ahli KWSP (SPA KWSP) dengan 184 dana layak ditawarkan kepada ahli untuk tempoh 2023/2024.

Menurut KWSP dalam kenyataan hari ini, daripada dana yang layak, sebanyak 149 dana atau 81 peratus adalah dana tempatan, dengan 104 dana atau 70 peratus adalah dana ekuiti.

Ketua Pegawai Pelaburannya Rohaya Mohammad Yusof berkata, buat pertama kali tahun ini, KWSP telah memasukkan dana unit amanah berasaskan pelaburan mampan dan bertanggungjawab (SRI) dalam senarai sebagai antara komitmen untuk menyokong pelaburan mampan serta mengarusperdanakan agenda kemampanan.

Beliau berkata KWSP menjangkakan lebih banyak dana SRI yang memenuhi kriteria penilaian akan disenaraikan pada masa hadapan.

“Sebagai insentif untuk menggalakkan pelaburan ahli ke dalam dana berasaskan SRI, caj jualan dikurangkan untuk transaksi yang dibuat melalui platform dalam talian i-Invest KWSP daripada 0.5 peratus kepada sifar peratus; atau tidak lebih daripada 1.5 peratus untuk transaksi melalui ejen,” katanya dalam kenyataan sama.

Kesemua 299 dana yang diluluskan di bawah KWSP SPA ini dinilai setiap tahun berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan oleh KWSP dan diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

Dua kriteria kelayakan untuk penilaian dana termasuk prestasi yang konsisten serta prestasi relatifnya berbanding penanda aras dana.

Ambang kelayakan yang ditetapkan untuk kriteria ini disemak dari semasa ke semasa untuk memastikan hanya dana dengan kualiti tertinggi disenaraikan.

Menurut KWSP, di bawah SPA KWSP, ahli diberi pilihan untuk melabur dengan IPD sehingga 30 peratus daripada lebihan jumlah simpanan dalam Akaun 1 mereka, termasuk melabur dengan syarikat pengurusan dana amanah dan syarikat mandat persendirian, bergantung kepada kelayakan berdasarkan simpanan asas.

Rohaya berkata sejak pelancaran platform i-Invest pada 2019, kira-kira RM2.15 bilion telah diurusniagakan sehingga Disember 2022.

“Kami menggalakkan ahli untuk memanfaatkan i-Invest kerana menyediakan caj jualan pendahuluan lebih rendah berbanding saluran lain, lebih fleksibiliti, fungsi dan memudahkan ahli untuk melabur, berurus niaga dan memantau dana pelaburan dalam IPD,” katanya.

Beliau berkata ahli juga boleh mengakses maklumat lanjut berhubung kos pelaburan yang berkenaan dan sejarah prestasi dana.

Ciri penanda aras prestasi dana dalam platform turut membolehkan ahli membandingkan prestasi dana terpilih dengan prestasi penanda aras prestasi dana mereka, katanya.

Sehubungan itu, ahli disarankan untuk mengambil langkah berjaga-jaga dalam membuat sebarang keputusan pelaburan dan mendapatkan maklumat yang betul serta nasihat profesional sebelum membuat keputusan atau transaksi.

Mereka boleh merujuk kepada khidmat nasihat ahli KWSP di mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara sebelum menyertai SPA KWSP.

Walaupun KWSP telah meluluskan dana-dana ini, ia bukan merupakan cadangan atau pengesahan untuk ahli melabur ke mana-mana dana tertentu.

Untuk senarai penuh dana unit amanah yang ditawarkan di bawah setiap IPD, ahli boleh merujuk kepada laman web KWSP di https://www.kwsp.gov.my/member/investment.-Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here