Ramadan tiba: bunyi mercun, meriam buluh terus berdentum

0
225

Oleh MOHD LAZIM ENDUT

SETIAP kali tibanya bulan Ramadan, penulis akan terkenang zaman kanak-kanak, iaitu suatu zaman yang cukup indah dan penuh dengan nostalgia tersendiri.

Ketika itu penulis tinggal di sebuah perkampungan nelayan tradisional di Kampung Pantai Pengkalan Penarik, Seberang Marang.

Setiap malam suasana di persekitaran kampung ini gelap gulita kerana ketika itu sekitar tahun 1960an dan 1970an masih belum ada bekalan elektrik.

Tidak seperti sekarang bermacam-macam ada termasuk lampu ‘neon’, ‘lik lak’ dan ‘sportlight!’.

Bagaimanapun, suasana tersebut tidak pernah menghalang anak-anak kampung melakukan pelbagai aktiviti.

Antaranya termasuklah menerangi persekitaran kampung dengan membakar tempurung dan sabut kelapa sambil bermain kejar-kejar.

Selain itu penulis bersama rakan sebaya juga akan mengikuti ibu bapa ke surau berdekatan di mana saat yang paling menyeronokkan apabila kuih-muih yang dibawa orang kampung seperti ondeh-ondeh, puteri mandi, akok dan Nekbat dihidangkan.

Maka berebutlah anak-anak kampung untuk mendapatkan kuih muih tersebut.

Begitulah betapa indah dan harmoninya suasana menyambut Ramadan dahulu berbanding sekarang.

Suasana seperti itu seakan sudah tiada dalam diri kanak-kanak sekarang yang terlalu banyak dengan aktiviti hiburan melalaikan.

Selain begitu asyik menonton pelbagai program hiburan menerusi kaca televisyen, kanak-kanak sekarang turut leka dengan telefon bimbit dan lebih gemar menatap pelbagai saluran media sosial termasuk bermain ‘game’.

Satu aktiviti paling mengembirakan penulis dan rakan-rakan sewaktu zaman kanak-kanak ialah menyaksikan golongan remaja bermain mercun dan meriam buluh.

Ketika itu kerajaan masih belum mengharamkan penjualan dan penggunaannya.

Ada mercun katak, mercun kilat, mercun roket, mercun bola, mercun bom dan mercun das.

Boleh dikatakan suasana di setiap kampung bertukar meriah dan bising dengan bunyi dentuman mercun serta meriam buluh terutama pada hari pertama Ramadan, malam tujuh likur dan malam hari raya.

Meriam buluh ini diperbuat daripada batang buluh tumpat dan ditebuk lubang bagi memasukkan minyak tanah atau belerang.

Bagi anak-anak kampung ketika itu, mereka menyifatkan seakan tidak lengkap kalau ketibaan Ramadan atau Syawal tanpa bunyi dentuman mercun dan meriam buluh.

Walaupun pelbagai jenis mercun yang dijual ketika itu lebih bahaya dan kuat bunyinya berbanding sekarang, belum pernah terdengar laporan kejadian kanak-kanak putus jari, melecur anggota badan dan telinga akibat bermain mercun.

Apa yang dikesalkan, sejak tahun-tahun kebelakangan ini boleh dikatakan setiap tahun apabila tiba bulan Ramadan, pasti ada laporan mengenai kejadian kanak-kanak atau orang dewasa yang putus jari atau buta mata gara-gara bermain mercun.

Pada tahun 2005 seorang murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Kertih Satu, Dungun dilaporkan putus tiga batang jari kanan manakala tapak tangan kirinya hancur setelah terkena mercun ketika bermain dengan adiknya.

Dalam kejadian terbaharu pada 5 April lalu pula seorang murid tahun tiga dilaporkan menjadi mangsa pertama kes mercun di Terengganu tahun ini.

Dalam kejadian tersebut Ahmad Adi Ikhwan Mohd. Noor, 9 tahun, dari Kampung Batu Rakit, Kuala Nerus, hampir buta mata kanannya akibat terkena letupan mercun ciptaan sendiri.

Kejadian berlaku pada pukul 8.45 malam sewaktu mangsa dikatakan sedang menyaksikan kawan-kawannya memasukkan belerang mercun bola ke dalam botol plastik sebelum mercun tersebut tiba-tiba meletup.

Ini menyebabkan serpihan botol terkena mata kanan mangsa.

Dia dikatakan bermain mercun di hadapan surau bersama 10 kanak-kanak lain.

Susulan itu mangsa terpaksa dimasukkan ke Hospital Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu bagi melakukan pembedahan manakala tiga rakan mangsa berusia 8 hingga 14 tahun turut dimasukkan ke hospital yang sama kerana kecederaan di tangan dan perut.

Persoalannya, kenapakah kerajaan bertindak menarik balik penguatkuasaan penjualan mercun di negara ini sedangkan kita semua tahu ia amat berbahaya serta boleh menimbulkan suasana bising dan tidak tenteram dalam masyarakat.

Apakah kerajaan hanya pentingkan ekonomi sedangkan ia boleh mengancam keselamatan awam?

Februari lalu, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengatakan bahawa kerajaan bersetuju untuk membenarkan penjualan mercun dan bunga api, namun ia tertakluk kepada peraturan serta garis panduan yang akan dikeluarkan nanti.

Menurut beliau, bagi tujuan itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menentukan garis panduan manakala isu membabitkan duti akan ditetapkan Kementerian Kewangan.

Katanya, perkara itu dipersetujui melalui mesyuarat Kabinet selepas mengambil kira penjualan mercun dan bunga api boleh menjadi satu lagi punca hasil pendapatan kepada negara. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here