Beri pengampunan kuasa Agong, tak perlu nasihat PM – Ahli Parlimen PH

0
182

KEPUTUSAN Umno memohon pertimbangan pengampunan terhadap bekas presidennya, Datuk Seri Najib Razak tidak akan meretakkan hubungan kerajaan perpaduan kerana ia kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan, kata seorang pemimpin PKR.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim tidak terbabit secara langsung dalam proses pengampunan diraja itu.

“Perkara 42(4) (a) dibaca dengan Fasal (3) Perkara 40 (Perlembagaan Persekutuan) menyatakan Agong bertindak dalam hal pengampunan itu, selepas berunding dengan Lembaga Pengampunan.

“Ini bermakna nasihat perdana menteri atau Jemaah Menteri tidak diperlukan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki semalam bahawa Majlis Kerja Tertinggi akan memohon pengampunan diraja untuk Najib kerana parti itu percaya beliau dinafikan keadilan.

Najib mula menjalani hukuman penjara 12 tahun pada 23 Ogos 2022, selepas didapati bersalah atas kesalahan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang berhubung RM42 juta dana SRC.

Isnin lalu, Najib dilaporkan berkata, beliau akan menggunakan penghakiman menentang oleh Hakim Mahkamah Persekutuan, Abdul Rahman Sebli bagi menyokong permohonan pengampunan dirajanya.

Mengulas lanjut, Hassan berkata, mengikut Perkara 42(5), Lembaga Pengampunan terdiri daripada peguam negara, menteri yang bertanggungjawab (Perkara 42(11)) dan tidak lebih daripada tiga anggota lain dilantik oleh Agong.

“Menteri persekutuan yang bertanggungjawab di bawah Perkara 42(11) itu bukan perdana menteri, tetapi menteri dalam negeri.

“Ini membebaskan Anwar sebagai perdana menteri daripada beban memutuskan soal pengampunan diraja itu.

“Maka, logiklah jika Umno menggerakkan momentum memohon Agong memberi pengampunan kepada Najib dengan ‘by-pass’ (melangkaui) perdana menteri kerana perdana menteri tiada kuasa dalam hal pengampunan diraja.”

Justeru, Anwar tidak boleh dipersalahkan jika proses pengampunan diraja itu berjalan dengan cepat atau lambat, dibenarkan atau ditolak.

“Jika doktrin pengasingan kuasa dihormati dan dipatuhi, maka kedudukan Anwar sebagai perdana menteri dan kerajaan perpaduan pimpinannya akan selamat daripada diganggu-gugat.” katanya, lapor FMT.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here