Pindah minyak tanpa kebenaran, kapal tangki, tug bot ditahan

0
138

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang menahan sebuah kapal tangki serta tug bot selepas didapati melakukan aktiviti pemindahan minyak dari kapal ke kapal (STS) tanpa kebenaran pukul 2.10 petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, pihaknya mengesan sebuah kapal tangki MT Mekar Jaya dan sebuah tug bot YKP Karishma merapat antara satu sama lain dalam keadaan mencurigakan ketika melaksanakan rondaan rutin Op Pertiwi di 0.16 batu nautika timur perairan Persiaran Karpal Singh.

Jelas beliau, hasil pemeriksaan, kapal tangki MT Mekar Jaya berbendera Malaysia dikendalikan lapan kru termasuk nakhoda iaitu tujuh warga Indonesia dan seorang warga tempatan berumur antara 26 hingga 46 tahun.

Sementara itu, ujarnya, tug bot YKP Karishma berbendera Thailand dikendalikan enam kru termasuk nakhoda iaitu empat warga Indonesia dan dua warga Thailand berumur antara 35 hingga 51 tahun.

“Kesemua kru kapal tangki dan tug boat memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu gagal memaklumkan Pengarah Jabatan Laut untuk melakukan aktiviti pemindahan minyak Ship to Ship (STS),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, tambah beliau, nakhoda dan ketua jurutera kapal serta tug bot termasuk dokumen berkaitan telah dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut.

Tegas beliau, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan sebarang aktiviti haram dan akan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang sengaja melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia.

 
“Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here