Padah langgar kontrak, Amelia Henderson diarah bayar RM90,000 kepada A Aida

0
174

MAHKAMAH Sesyen Sivil hari ini mengarahkan pelakon, Amelia Henderson membayar ganti rugi sebanyak RM90,000 kerana melanggar kontrak syarikat penerbitan, A Aida Production Sdn Bhd.

Hakim Zulqarnain Hassan turut memutuskan supaya pelakon terbabit memadam video mengandungi kenyataan fitnah berkaitan syarikat itu dan meminta maaf.

Sepanjang perbicaraan bermula 1 November tahun lalu, seramai tiga saksi daripada plaintif termasuk Datuk A Aida atau nama sebenarnya, Zaidah Awang, dan tiga saksi defendan termasuk Amelia atau nama penuhnya, Amelia Thripura Henderson, 28, memberi keterangan.

Ketika perbicaraan, pengurus produksi A Aida Production, Fazeyla Ahmad, 42, dilaporkan memberitahu mahkamah, syarikat itu terpaksa menanggung kerugian akibat pelanggaran perjanjian yang dibuat Amelia, lapor BH Online.

Namun, Amelia tetap dengan pendirian menafikan melanggar kontrak ketika menerima tawaran untuk membintangi drama berjudul Sekali Lagi Cinta Kembali.

Amelia dan dan seorang lagi pelakon, Idris Khan, berdepan tindakan saman daripada A Aida selepas didakwa melanggar kontrak perjanjian sebuah drama seperti yang sudah ditandatangani.

A Aida bersama pengarah drama Sekali Lagi Cinta Kembali, Rizal Baharuddin sepakat membawa perkara itu ke muka pengadilan.

Bagaimanapun, saman antara A Aida dan Idris berakhir dengan baik apabila kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikannya di luar mahkamah, manakala Amelia memilih untuk dibicarakan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here