Polis Perak rampas dadah bernilai RM5.5 juta,tahan empat suspek

0
241

POLIS menahan empat individu termasuk tiga wanita warga Vietnam serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM5.5 juta dalam dua serbuan berasingan di Pantai Remis dekat Manjung, Sabtu lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hasan Basri berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 32 hingga 39 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sebuah rumah sewa  pada 7 pagi.

“Hasil pemeriksaan ke atas rumah yang dipercayai tempat pemprosesan dan pembungkusan dadah itu menemukan 245 biji pil ekstasi seberat 100 gram serta serbuk dadah jenis sama dengan anggaran seberat 1.27 gram dan kesemuanya bernilai RM95,043.

“Polis turut merampas bahan-bahan kimia dan peralatan digunakan untuk memproses dan membungkus dadah,” katanya pada sidang media di pekarangan IPK Perak di sini hari ini.

Beliau berkata susulan daripada penahanan kesemua suspek tersebut, pihaknya melakukan serbuan di sebuah rumah yang turut digunakan sebagai tempat pemprosesan dan pembungkusan dadah di Panchor, Pantai Remis pada 3.30 petang hari sama.

Mohd Yusri berkata hasil pemeriksaan di rumah kedua milik suspek seorang lelaki tempatan itu menemukan 11, 838 biji pil ekstasi seberat 5.59 kilogram (kg),  serbuk dadah ekstasi seberat 38.3 kg, cecair dadah jenis ekstasi dengan anggaran 31.3 kg.

“Polis turut menemukan daun-daun kering disyaki dadah jenis ganja seberat 2kg, ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 844 gram serta dadah jenis heroin dengan anggaran berat 162 gram dan kesemua dadah itu dianggarkan berjumlah RM5.4 juta,” katanya .

Pihaknya turut menyita tiga buah kenderaan iaitu Ford Mustang, Toyota Alphard serta Mitsubishi Triton serta seutas rantai dan sebentuk cincin dengan nilai dianggarkan RM763,693.

Mohd Yusri berkata hasil ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis amphethamine dan semakan rekod jenayah mendapati suspek lelaki tersebut mempunyai sembilan rekod kesalahan lampau berkaitan kes jenayah.

“Sindiket dipercayai bergiat aktif sejak awal tahun lepas dan dadah yang dirampas boleh digunakan dengan anggaran seramai 258,214 orang penagih di sekitar negeri ini,” katanya menambah kesemua suspek direman selama seminggu bermula 2 April bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here