Sistem myIDENTITY bantu kesan 46,000 penipu identiti, warga asing mohon kerja sector awam-JPN

0
183

SISTEM myIDENTITY milik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), yang diwujudkan sejak 2012, membantu Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) mengenal pasti maklumat sahih individu yang memohon jawatan dalam perkhidmatan awam.

Menurut kenyataan JPN, pengintegrasian sistem ini membolehkan SPA melaksanakan semakan pengesahan taraf kewarganegaraan pemohon yang merupakan keperluan wajib kerana jawatan di dalam sektor awam adalah dikhaskan untuk rakyat Malaysia.

“JPN sentiasa berhubung dan berkerjasama dengan pihak SPA sekiranya didapati pemohon mengemukakan maklumat tidak tepat dan melakukan kesalahan-kesalahan berkaitan dokumen pengenalan diri di bawah akta atau peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan oleh jabatan ini.

“JPN menyediakan kemudahan Sistem myIDENTITY kepada agensi-agensi kerajaan bagi tujuan perkongsian data asas individu. Kemudahan ini membolehkan agensi yang mendapat akses membuat semakan silang antara data pelanggan agensi dengan data JPN untuk mengesahkan kesahihan maklumat peribadi pelanggan berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Sehingga kini terdapat 51 agensi diberikan akses kepada sistem myIDENTITY manakala bagi agensi yang tidak mempunyai akses, semakan data boleh dilaksanakan dengan memohon kepada JPN mengikut keperluan.

Semalam sebuah akhbar tempatan melaporkan kejayaan SPA mengesan dan menyekat cubaan lebih 46,000 individu, termasuk warga asing dan mereka yang menggunakan identiti palsu untuk memohon kerja dalam sektor awam sejak 2020 hingga 15 Mac lepas.

Mereka adalah antara 2.2 juta pemohon yang mengisi maklumat peribadi bagi memohon kekosongan perjawatan yang ditawarkan dalam sektor perkhidmatan awam bagi tempoh lebih dua tahun lepas.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here