Fahmi perlu akui kesilapan salah label fitnah berita jangkaan kenaikan OPR

0
137

Oleh MOHD. AZAM MOHD. ATAN

MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Fahmi Fadzil menerima kritikan ramai apabila dia melabelkan tajuk posting Facebook Berita Harian (BH) mengenai jangkaan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) pada Julai sebagai fitnah.

Rata-rata netizen mengkritik Fahmi kerana tidak memahami maksud perkataan jangkaan dalam pelaporan berita tersebut dan jurucakap kerajaan perpaduan terhadap isu itu adalah keterlaluan hingga mahu berjumpa dengan pengurusan editorial akhbar berkenaan.

Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM), Farah Marshita Abdul Patah mengecam tindakan Fahmi dengan berkata, sebagai menteri berkaitan media, Fahmi sepatutnya memahami dan peka amalan dan tugas media.

Tegasnya, laporan akhbar tersebut berdasarkan ramalan OPR yang memetik pakar kewangan dan adalah menjadi amalan media seluruh dunia untuk menyiarkan berita berdasarkan pendapat dan unjuran pakar industri.

Tokoh Wartawan Negara, Johan Jaaffar turut menzahirkan kekesalan terhadap Fahmi yang tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana beliau merupakan seorang menteri yang diberi tugas untuk menjadi jurucakap kerajaan.

Jelasnya, menteri berkenaan juga sepatutnya faham bahawa laporan itu memetik kepada pandangan dan ramalan penganalisis.

Kata Johan, sudah menjadi amalan biasa dalam laporan pemberitaan bisnes dan urusniaga sama seperti pandangan penganalisis politik juga dipetik bagi tujuan berita semasa.

Katanya, kenyataan Fahmi turut menanamkan rasa tidak yakin orang ramai ke atas media serta menjejaskan nama baik media tempatan.

Johan juga kecewa dengan Fahmi yang sebelum ini melenting dengan laporan persepsi dan skor kerajaan perpaduan yang menyatakan kebenaran pandangan rakyat terhadap prestasi 100 hari kerajaan.

Penulis juga hairan, bagaimana seorang menteri berkaitan media tidak faham dengan tugas wartawan dan paling mengejutkan apabila tidak memahami tajuk dan ‘angle’ berita yang mengulas mengenai aspek ekonomi.

Berita-berita dan tajuk sebegitu bukan perkara baharu dalam pelaporan berita, bahkan telah dilaporkan sejak sekian lama sama ada di peringkat antarabangsa ataupun tempatan.

Malah, sebelum-sebelum ini pun, pelaporan berita dan tajuk seumpama itu tidak pernah menjadi isu dan belum ada mana-mana menteri ataupun pihak Bank Negara Malaysia menganggap ia adalah fitnah terhadap mana-mana institusi kewangan di negara ini.

Ini kerana setiap jangkaan OPR adalah bersandarkan kepada unjuran perkembangan ekonomi berdasarkan pemacuan permintaan domestik yang kukuh berikutan pemulihan pekerjaan dan paras pendapatan lebih baik.

Kenaikan 25 mata asas juga seperti jangkaan penganalisis mengambil kira kadar inflasi yang dijangka kekal tinggi walaupun mula menyederhana tahun ini.

Sepatutnya Fahmi selaku menteri, jika tidak suka dengan jangkaan itu, boleh meminta penganalisis-penganalisis ekonomi lain mengeluarkan kenyataan menyatakan pandangan mereka mengenai unjuran OPR pada Julai.

Kemukakan data-data bahawa OPR tidak akan dinaikkan dan nafikan pandangan pakar seperti yang dilaporkan oleh BH.

Berikan data-data yang tepat analisis firma penyelidikan bagi menafikan bahawa OPR akan dinaikkan dari kadar semasa ketika ini iaitu 2.75.

Ia adalah lebih profesional daripada menggunakan kuasa menteri untuk melabelkan berita benar seperti itu sebagai fitnah hingga boleh mengelirukan pembaca.

Maka, adalah wajar Fahmi mengakui kesilapan dan kekhilafannya yang terburu-buru dalam isu ini kerana jika tidak mana-mana tajuk berita yang bersifat jangkaan atau ramalan akan dianggap sebagai fitnah.

Adakah selepas ini ramalan cuaca, jangkaan peningkatan kes denggi, jangkaan jaringan gol perlawanan bola sepak ataupun semua tajuk berita yang melibatkan jangkaan atau ramalan boleh diklasifikasikan sebagai fitnah?

Penulis adalah penganalisis politik dan ekonomi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here