ESSCom rampas RM33.291 juta dadah,barang kawalan di ESSZone tahun lalu

0
160

KAWASAN Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) merekodkan rampasan barang kawalan serta dadah bernilai RM33.291 juta di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) pada tahun lalu, kata Komander ESSCom Datuk Hamzah Ahmad.

Katanya rampasan itu adalah hasil operasi di darat dan laut yang dikoordinasikan oleh ESSCom dengan pelaksanaan 1,401,593 pemeriksaan terhadap individu, kenderaan dan bot sekali gus menghasilkan 1,003 tangkapan atas pelbagai kesalahan.

“Elemen penting yang mempengaruhi kejayaan operasi keselamatan pada tahun lalu adalah kerjasama baik antara pasukan keselamatan dan masyarakat di ESSZone” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan sempena hari ulang tahun ke-10 ESSCom di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hamzah berkata ESSCom yang ditubuhkan pada 10 tahun lalu terus unggul mempertahankan kedaulatan di wilayah pantai timur Sabah selain dapat menangani pelbagai jenayah rentas sempadan termasuk penculikan bagi wang tebusan.

“Kali terakhir kes penculikan melibatkan wang tebusan dan kumpulan Abu Sayyaf berlaku di ESSZone pada 15 Jan 2020 dan antara sebabnya, kawalan keselamatan yang ketat yang berterusan termasuk pelaksanaan perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah di ESSZone (Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Beluran, Kinabatangan, Sandakan),” katanya.

Di samping itu katanya kerajaan sedaya upaya meningkatkan kawalan keselamatan di ESSZone melalui pembinaan dan menaik taraf pos kawalan pasukan keselamatan sejak 10 tahun lalu.

“Pada tahun ini, kerajaan negeri memperuntukkan RM100 juta untuk pemerkasaan persempadanan selain membina sistem pengawasan di laut bagi tujuan pemantauan pergerakan komuniti maritim ESSZone,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here