Bekas Ahli Parlimen DAP dilantik semula pengerusi SPAN

0
133

BEKAS Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago sekali lagi dilantik sebagai pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

SPAN dalam satu kenyataan berkata, pelantikan Santiago itu berkuatkuasa pada 20 Mac lalu dan penyerahan watikah selaku pengerusi baharu akan dilakukan dalam masa terdekat.

“Pelantikan Santiago secara amnya melengkapkan kepimpinan anggota suruhanjaya baharu SPAN untuk penggal 2023 hingga 2025,” katanya kenyataan itu, lapor FMT.

Bekas Ahli Parlimen DAP itu pernah memegang jawatan yang sama ketika pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dari Nov 2018 hingga April 2020.

Ketika dihubungi FMT Santiago berkata, beliau bersyukur kerana sekali lagi diberi peluang ke jawatan itu.

Katanya, perubahan iklim mempunyai kesan besar terhadap sumber air dan ini membawa kepada beberapa cabaran dalam tahun-tahun akan datang.

“Ini bukan sahaja sesuatu yang mencabar kepada operator tetapi pengguna juga. Kita akan melihat corak cuaca yang ekstrem akibat perubahan iklim ini,” katanya.

Ketika ditanya apakah matlamatnya sebagai pengerusi, Santiago berkata, beliau perlu terlebih dahulu berbincang dengan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad.

“Saya perlu mendapatkan pandangan beliau terlebih dahulu mengenai arah tuju industri, pandangan mengenai banyak cabaran yang bakal kami hadapi termasuk perubahan iklim dan pencemaran sungai yang tinggi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here