2 penjawat awam antara 7 ditahan terlibat sindiket pengedaran dadah

0
164

DUA penjawat awam antara tujuh ditahan kerana disyaki terbabit sindiket pengedaran dadah di sekitar pusat bandar di Tawau, baru-baru ini.

Semua suspek ditahan dalam dua serbuan berasingan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bersama BSJN Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau pada Isnin dan Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tangkapan pertama membabitkan lima lelaki dalam keadaan mencurigakan dalam sebuah kenderaan berhampiran sebuah kawasan perumahan pada pukul 2 pagi.

“Hasil pemeriksaan lanjut turut ditemukan dadah jenis syabu seberat 103.4 gram di dalam kenderaan terbabit.

“Selain itu, kesemua lima suspek juga masing-masing mempunyai antara satu hingga empat rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” katanya pada sidang media di Tawau, hari ini.

Jasmin berkata, susulan tangkapan itu, pihak polis kemudiannya membuat satu lagi serbuan dan tangkapan ke atas dua lelaki tempatan pada 12.30 tengah malam pada Selasa.

“Kedua-dua suspek masing-masing berusia 34 dan 36 tahun yang juga penjawat awam itu ditahan bersama lima bungkusan plastik lut sinar disyaki dadah jenis syabu seberat 1177.5 gram,” katanya, lapor Harian Metro.

Semua suspek berusia antara 30 hingga 59 tahun itu direman tujuh hari sehingga 29 Mac ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here