11 warga asing berpesta dadah di kondominium diberkas

0
118

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

POLIS Pulau Pinang menahan seramai 11 warga asing berusia antara 18 hingga 54 tahun ketika sedang asyik berpesta dadah di sebuah kondominium di Bukit Tengah, Bukit Mertajam, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada lima warga China termasuk seorang wanita serta enam wanita warga Vietnam.

Beliau berkata, polis menyerbu kondominium itu pukul 12.30 malam selepas menerima aduan daripada jiran mereka.


Dalam serbuan itu, ujar beliau, polis merampas tiga bungkusan plastik berisi serbuk dipercayai dadah jenis MDMA seberat 117 gram bernilai RM5,850.

Turut dirampas, tambahnya, dua paket plastik lutsinar berisi serbuk dan ketulan dadah jenis ketamin seberat kira-kira 2.42 gram bernilai RM363 dan satu jag kaca berisi cecair disyaki dadah MDMA seberat 700ml (mililiter) yang bernilai RM500.

“Siasatan mendapati, rata-rata suspek yang ditahan itu tidak mempunyai pekerjaan tetap dan majoriti daripada mereka masuk ke negara ini dengan menggunakan visa pelancong.

“Ada juga dalam kalangan suspek yang dipercayai telah berkahwin dengan orang tempatan atau dibawa masuk ke negara ini melalui teman lelaki yang dipercayai warga tempatan sebagai perempuan simpanan,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis daerah SPT hari ini.

Menurut Cheng San, ujian saringan air kencing terhadap kesemua suspek mendapati dua daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua tangkapan direman selama tujuh hari sehingga Rabu ini.

“Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk untuk mengenal pasti sama ada suspek-suspek itu terlibat dengan kegiatan lain seperti sindiket penipuan atau ‘scam’ dan sebagainya,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here