Datuk Roy ditahan semula SPRM, dijangka dibawa untuk reman esok

0
143

DATUK Roy yang direman susulan kes membabitkan dana Jana Wibawa sebelum ini, ditahan semula selepas dibebaskan dengan jaminan polis pagi tadi.

Lelaki berusia 54 tahun itu ditahan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pukul 3.45 petang dan dijangka dibawa untuk permohonan reman di Mahkamah Putrajaya pagi esok.

Terdahulu, Datuk Roy dilepaskan Majistret Kuala Lumpur Noorelynna Hanim Abd Halim, selepas pihak SPRM tidak mengemukakan permohonan untuk melanjutkan tempoh reman ke atasnya yang tamat hari ini.

Majistret sebelum ini memerintahkan lelaki itu direman tiga hari berakhir hari ini, bagi membantu siasatan berhubung dana Projek Jana Wibawa atau nama penuhnya Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa.

Sementara itu, peguam bela lelaki terbabit, Fahmi Abd. Moin ketika dihubungi mengesahkan anak guamnya sudah dilepaskan dengan jaminan, namun ditahan semula SPRM Putrajaya untuk membantu siasatan kes lain.

“Lanjutan reman akan dimohon esok,” katanya, lapor Berita Harian.

Datuk Roy ditahan kali pertama ketika hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 di pejabat SPRM di Kuala Lumpur, pada pukul 3 petang Isnin lalu.

Sebelum ini, Datuk Roy diburu SPRM kerana didakwa menjadi perancang utama dalam siasatan kes meminta dan menerima rasuah RM400,000 bagi mengelakkan siasatan membabitkan program Jana Wibawa.

Empat individu termasuk seorang pegawai SPRM ditahan, namun dibebaskan dengan jaminan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berkenaan atas tujuan sama.

Datuk Roy yang beralamat di Kuantan, Pahang, pernah dipenjara kerana terbabit kes rasuah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here