Projek Ziarah Gereja: …kenapa iklan di media sosial belum dipinda? – MAIS

0
159

MAJLIS Agama Islam Selangor (MAIS) mempersoalkan mengapa risalah dan iklan Projek Artikel 11 Jom Ziarah belum dipinda sekiranya program itu hanya dikhaskan kepada bukan Islam.

Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata pihaknya sedia maklum kenyataan terbaru Menteri Beliau dan Sukan, Hannah Yeoh bahawa program itu pada asalnya terbuka kepada semua, kini ditukar dan dihadkan kepada belia bukan Islam sahaja.

“Namun semakan MAIS setakat ini mendapati risalah dan iklan yang diedarkan di media-media sosial dan elektronik masih tidak dipinda bagi menunjukkan program ini dikhaskan hanya untuk orang bukan Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau merujuk kepada iklan dan risalah yang diedarkan melalui media sosial dan elektronik sejak beberapa hari lalu berkaitan dengan ‘Projek Artikel 11 Jom Ziarah’, program anjuran Impact Malaysia iaitu sebuah pertubuhan di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

Melalui program itu belia yang berminat mengetahui dengan lebih lanjut mengenai pelbagai agama berlainan daripada agama yang dianutinya dijemput menyertainya termasuk program yang akan diadakan di Gereja The Church of Our Lady of Lourdes, esok.

Abdul Aziz berkata, bagi maksud program di gereja esok, program itu adalah berkaitan dengan pengetahuan mengenai agama Kristian.

“Daripada penelitian kepada iklan dan risalah yang diedarkan ini, MAIS berpandangan program ini mempunyai unsur-unsur bagi menarik minat belia khususnya belia Islam untuk mempelajari atau menimba ilmu berkaitan dengan agama selain agama Islam.

“Program sebegini jika dibenarkan dianjurkan boleh mempengaruhi pemikiran belia Islam secara halus dan tanpa disedari untuk cenderung atau tertarik dengan agama selain dari agama Islam yang sedang dianuti oleh mereka.

“Di Selangor, apa-apa program yang dibuat bagi tujuan memujuk atau mempengaruhi mana-mana orang Islam untuk cenderung atau minat kepada agama bukan Islam adalah dilarang sama sekali dan menjadi satu kesalahan di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988,” katanya.

Beliau berkata, MAIS mengambil pendekatan berhati-hati demi memelihara akidah umat Islam di negara ini.

“Dalam menyantuni perbezaan bangsa, budaya dan agama dalam masyarakat majmuk di Malaysia, MAIS berpendirian bahawa kesefahaman, toleransi dan perpaduan masyarakat sangat penting untuk memastikan keharmonian dan keamanan Malaysia.

“Malah, Islam tidak melarang persahabatan dan toleransi dengan orang bukan Islam seperti yang dianjurkan dalam Surah Al-Mumtahanah, ayat 8 iaitu Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama kamu dan tidak mengusirmu dari kampung halaman kamu’,” katanya lapor BH.

Jelas beliau, walaupun objektif program memberi pendedahan sesuatu agama yang diamalkan di negara ini dan bagi menjalin perpaduan erat dalam kalangan penganut pelbagai agama, mempelajari agama lain selain Islam di mana-mana gereja atau rumah-rumah ibadat agama lain memerlukan kepada kawalan dan sekatan tertentu.

“Ini bagi memastikan tiada elemen memujuk orang Islam untuk terpengaruh dan minat dengan agama lain selain Islam dan tiada juga pembabitan orang Islam dalam ritual agama lain.

“Kaedah fiqh menekankan ‘menolak keburukan perlu didahulukan daripada mengambil kebaikan’, membawa maksud apa-apa aktiviti yang menggalakkan orang awam beragama Islam memasuki tempat ibadah orang bukan Islam secara terbuka untuk mempelajari agama bukan Islam lebih membawa kepada kesan negatif daripada kebaikan menjaga akidah kepada umat Islam khususnya belia Islam dan ia perlu ditolak dan disekat,” katanya.

Justeru itu katanya, MAIS menyeru semua masyarakat agar menghormati kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here