Che’gu Bard balas laporan polis Hannah Yeoh berkaitan program “Jom Ke Gereja”

0
325

SEBARANG usaha mempromosi agama lain kepada umat Islam satu adalah kesalahan jenayah berdasarkan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Berikut tegas Pengerusi Penaja Muafakat Nasional (MN) Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin sambil mengingatkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berikutan program mengajak belia bukan Kristian ke gereja yang dianjurkan Impact Malaysia, agensi di bawah kementeriannya.
“Perkara 11 itu diperkukuhkan lagi dengan pelbagai undang-undang peringkat Persekutuan dan negeri. Lebih malang lagi kerja jenayah itu ditanggung dengan wang rakyat,” katanya, lapor MalaysiaGazette.

Mengulas lanjut, beliau yang mesra dikenali Che’gu Bard berkata, Hannah perlu berhenti bermain kata-kata  dengan mengatakannya menjadi mangsa fitnah.

“Sama ada ia (Program Ziarah Gereja) berjaya atau tidak, itu bukan persoalannya. Duit negara, bajet Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sudah digunakan untuk menganjur dan mempromosi perkara tersebut.

“Saya merasakan Hannah sedang go around the bush, berpusing (kata-kata) dengan dia memfitnah saya dengan mengatakan saya fitnah dia.

“Ini bukan kita menentang mana-mana agama, ini kami mempertahan hak kami berdasarkan perlembagaan dan undang-undang negara,” katanya sambil menjelaskan kebebasan dalam negara mencakupi kontrak sosial dan perlembagaan yang mengikatnya.

Sebagai rekod, Impact Malaysia pada tahun lepas menerima peruntukan kerajaan berjumlah RM4 juta dan tahun ini naik kepada RM5 juta.

Chegubard berkata, meskipun Hannah menganjurkan program belia ke masjid sebelum ini, ia tidak menghalalkan kempen Jom Ziarah Gereja yang disifatkan sebagai mempromosi pluralisme dan liberalisme melampau.

Terdahulu beliau ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi untuk membuat laporan balas polis terhadap Ahli Parlimen Segambut itu.

Ia lanjutan laporan polis oleh Setiausaha Politik KBS, Dayangku Norhazwani Awangku Marsal pada 13 Mac lalu.

Pada Selasa, Hannah dalam ucapan penggulungan peringkat jawatankuasa kementerian itu di Dewan Rakyat menegaskan program dibawah KBS itu tidak melibatkan penganut beragama Islam.

Hannah berkata, hantaran yang dibuat Che’gu Bard itu seolah-olah memberi gambaran agensi di bawah kawal selia KBS itu menjadi penyebar agama Kristian selepas beliau menjadi menterinya.

Jelasnya, beliau memahami Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf agama Islam sebagai agama Persekutuan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here