APMM tahan 25 bot nelayan ceroboh, tangkap siput retak seribu

0
154

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Perlis membuat 25 tangkapan di bawah Akta Perikanan 1985 sepanjang 2022 bagi membendung pencerobohan bot nelayan Thailand dan negeri lain yang membuat tangkapan siput retak seribu di perairan negeri ini.

Exco Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Razali Saad berkata daripada 25 bot yang ditahan itu, 10 kes Bot Nelayan Tempatan (BNT) Kelas A (Kuala Kedah) dan 15 kes lagi melibatkan sampan tradisional siput (Kuala Perlis).

“Sementara empat individu ditahan dan didakwa oleh APMM daripada penahanan bot siput pada tahun ini iaitu seramai 67 warganegara Malaysia, 41 daripadanya adalah daripada pencerobohan BNT kelas A (Kuala Kedah),” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Abu Bakar Hamzah (Bersatu-Kuala Perlis) berkenaan langkah kerajaan negeri Perlis mengatasi masalah pencerobohan bot nelayan Thailand dan negeri lain yang membuat tangkapan siput retak seribu di perairan negeri ini.

Razali berkata pada tahun ini, terdapat empat kes pencerobohan Bot Nelayan Asing (BNA), iaitu kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 yang membawa kepada penahanan lapan individu warganegara Thailand.

Katanya APMM terus komited untuk membendung isu ini dengan melaksanakan rondaan operasi (Op Aman) di perairan Perlis bagi memastikan komuniti maritim terutamanya bot nelayan tempatan selamat serta mematuhi undang-undang yang berkaitan di Zon Maritim Malaysia.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here